Hadiah bernilai RM30k menanti pedagang Kenanga Futures | DagangNews Skip to main content

Hadiah bernilai RM30k menanti pedagang Kenanga Futures

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Syarikat broker, Kenanga Futures Sdn. Bhd. (Kenangan Futures) menawarkan hadiah bernilai sehingga RM30,000 kepada pedagang kontrak derivatifnya menerusi kempen runcit tahunan, ‘Into The Future’.

Mereka yang berpeluang meraih hadiah berkenaan merupakan pelanggan baharu dan sedia ada yang mendagangkan kontrak derivatif di Bursa Malaysia Derivatives Berhad (BMD), Produk Kumpulan CME (CME) dan Hong Kong Futures Exchange (HKFE), dari 1 Ogos  hingga 31 Oktober 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif dan Ketua Derivatif Tersenarai Kenanga Futures, Azila Abdul Aziz berkata, kempen ‘Into The Future’ pada tahun ini diperhebatkan dengan penambahan komponen gamifikasi digital baharu yang dibangunkan untuk berhubung dengan golongan pelabur yang lebih muda, sejajar dengan digitalisasi.

 

azila abdul aziz
Azila Abdul Aziz

 

“Permainan tersebut boleh dinikmati di laman web dan media sosial kami. Bagi mereka yang ingin mengetahui derivatif dan mahu belajar lebih lanjut, jangan khuatir kerana pendidikan kekal menjadi teras utama kempen dan mereka hanya perlu melayari laman web Kenanga Futures untuk mendapatkan lebih banyak kandungan derivatif sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Kempen yang mengangkat tema ‘Into The Future’ ini secara dasarnya mengajak golongan sasar untuk mula merancang dan membentuk masa hadapan kewangan yang lebih baik bagi diri mereka sendiri,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Bagi tahun ini, kempen tersebut akan memberi ganjaran kepada pelanggan yang membuat dagangan kontrak paling banyak dengan hadiah bernilai sehingga RM30,000, termasuk iPhone keluaran terbaharu dan wang tunai.

Susulan daripada anjuran kempen ini, BMD menjangkakan peningkatan dalam jumlah pelabur pada kadar yang sihat dari semasa ke semasa.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BMD, Samuel Ho Hock Guan berkata, keadaan pasaran pada ketika ini merupakan masa yang mengujakan bagi pedagang derivatif.

Samuel Ho
Samuel Ho Hock Guan

“Sekalung pujian buat Kenanga Futures atas langkah proaktif ini yang dibina dengan usaha berterusan untuk menggalakkan dan melindungi pelabur runcit. Kami berharap lebih banyak lagi kempen seumpama ini dianjurkan, yang mendorong para peruncit untuk meneroka pasaran derivatif bagi meneroka peluang baharu,” jelas Hock Guan.

Sejak September 2019, Kenanga Futures telah meluaskan tawaran produknya dengan memperkenalkan akses kepada kontrak baharu melalui HKFE.

Kempen tahun ini meliputi empat produk baharu iaitu Niaga Hadapan Indeks Hang Seng (HSI), Niaga Hadapan Indeks Mini Hang Seng (Mini-HSI), Niaga Hadapan Indeks Hang Seng China Enterprises (HSCEI) dan Niaga Hadapan Indeks Mini Hang Seng China Enterprises (Mini-HSCEI). – DagangNews.com