Haramkan rokok langkah yang salah untuk negara, kata Zaid Ibrahim | DagangNews Skip to main content

Haramkan rokok langkah yang salah untuk negara, kata Zaid Ibrahim

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 30 Jan – Bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan langkah mengharamkan rokok sebagai salah kerana ia hanya akan menyemarakkan aktiviti penyeludupan.

 

Dalam ciapan terbaharunya, Zaid menyindir `orang yang baik-baik fikir bila mereka mengharamkan rokok, maka tidak akan ada lagi perokok.

 

‘’Mereka salah. Merokok akan menjadi lebih mahal, penyeludupan menjadi lebih berleluasa dan makin banyak duit kopi bagi penguatkuasa.

 

‘’Apa kata haramkan lebuh raya bertol? Haramkan pencurian berskala besar daripada perbendaharaan negara,’’ kata beliau.

 

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang memberi komitmen untuk melaksanakan undang-undang melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas tahun 2005.

 

‘’Seperti beberapa Pejabat Serantau bagi Pasifik Barat (WPRO) di negara lain, Malaysia berharap untuk meluluskan satu undang-undang pada tahun ini yang akan membawa kepada generasi tidak merokok.

 

“Ia dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005 dan Malaysia merasakan ia memberi impak besar dalam mencegah dan mengawal Penyakit Tidak Berjangkit (NCD),” katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan intervensi pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO Sesi ke-150 di Geneva, Switzerland, kelmarin.

 

 

zaid

 

 

Beberapa pihak turut menyuarakan bantahan terhadap hasrat Khairy tersebut termasuk Advokasi Runcit dan Jenama Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia) dan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI).

 

RTBA Malaysia menganggap langkah Malaysia untuk mengharamkan penjualan semua produk rokok dan vape kepada generasi akan datang hanya membantutkan produktiviti sosio-ekonomi dan memberi manfaat kepada sindiket jenayah terutamanya yang mengedar produk seludup.

 

MICCI pula berpendapat langkah Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan penjualan rokok dan vape kepada rakyat Malaysia yang lahir selepas 2005, hanya akan menimbulkan kesan negatif. – DagangNews.com