Harga minyak dapat kelebihan OPEC+ dan fiskal AS | DagangNews Skip to main content

Harga minyak dapat kelebihan OPEC+ dan fiskal AS

 

 

NEW YORK 7 Dis. - Harga minyak semakin mengukuh setelah mencatat kenaikan minggu kelima berturut-turut setelah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) mencapai persetujuan mengenai pengeluaran minyak minggu lalu. 

 

Dalam masa sama, pasaran juga menaruh harapan terhadap rangsangan fiskal Amerika Syarikat (AS) dapat menyuntik peningkatan permintaan sebelum vaksin COVID-19 dilancarkan secara meluas. 

 

Bloomberg melaporkan niaga hadapan di New York diniagakan hampir mencecah AS$46 setong selepas meningkat 1.6% minggu lalu menghampiri paras tertinggi 9 bulan pada Jumaat lalu. 

 

Bulan lalu, harga minyak melonjak sehingga 27% apabila pasaran optimis permintaan tenaga akan pulih dengan cepat tahun hadapan dengan pelancaran vaksin COVID-19. 

 

Ia menyaksikan keluk niaga hadapan menandakan bekalan yang ketat memandangkan permintaan di Asia meningkat dan pasaran North Sea turut mengukuh. 

 

West Texas Intermediate susut 0.1% kepada AS$46.21 setong New York Mercantile Exchange setakat 7.24 pagi di Singapura selepas meningkat 1.4% pada Jumaat. 

 

Harga minyak Brent pula jatuh 0.1% kepada AS$49.22 setong di ICE Futures Europe Exchange setelah meraih untung 1.1% pada sesi sebelumnya. 

 

Selain itu, terdapat petunjuk positif dalam pasaran apabila Arab Saudi meningkatkan harga minyak kepada para pelanggannya dalam pasaran utama di Asia. 

 

Peningkatan harga itu yang terbesar dalam tempoh 5 bulan menandakan keyakinan pengeksport minyak terbesar dunia terhadap permintaan tenaga global adalah kukuh untuk menyerap sedikit peningkatan pengeluaran daripada anggota OPEC+ mulai bulan hadapan.

 

Menerusi persetujuan yang dicapai minggu lalu, OPEC+ akan menambah pengeluaran sebanyak 500,000 tong sehari mulai Januari dan mengadakan mesyuarat bulanan untuk menilai langkah seterusnya. - DagangNews.com