Harga minyak mentah lonjak KLCI dibuka tinggi | DagangNews Skip to main content

Harga minyak mentah lonjak KLCI dibuka tinggi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Sentimen positif pelaburan ekuiti yang kini beralih ke harga minyak mentah lebih baik berjaya melonjakkkan pasaran tempatan untuk dibuka tinggi sedikit pada awal dagangan pagi ini. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras itu, FBM KLCI menokok 2.43 mata, sekali gus mencecah 1,610.78 daripada paras yang ditutup semalam, 1,608.35. 

 

Seiring pergerakan positif FBM KLCI, pasaran global di Amerika Syarikat (AS) dan Asia turut menonjolkan trend meningkat. 

 

Menurut Rakuten Trade Research, saham-saham di AS pulih memandangkan pelabur meletakkan harapan ke atas data ekonomi serta prospek pemulihan lebih baik. 

 

DJI Average menokok 168 mata selepas merudum jauh untuk ditutup menghampiri paras 30,400. 

 

Jelas Rakuten Trade, sentimen bagaimanapun kekal suram memandangkan rata-rata menantikan keputusan daripada pilihan raya Georgia. 

 

“Di pasaran tempatan, kami percaya FBM KLCI akan menokok lebih tinggi hari ini didorong oleh harga minyak mentah yang lebih baik. 

 

“Kami menjangkakan indeks itu akan berlegar dalam julat 1,650/15 ketika terdapat ketidaktentuan di kaunter sarung tangan. 

 

“Hari ini, kami mengunjurkan minat membeli akan beralih ke saham-saham minyak dan gas susulan harga minyak mentah bertambah baik dengan Brent kini menghampiri AS$54 setong,” kata firma penyelidik itu dalam nota kajiannya. 

 

Beberapa saham minyak dan gas yang disarankan adalah Hibiscus, Reach, Uzma, KNM, Reservoir Link, dan Serba Dinamik. - DagangNews.com