Harmony Auto lancar Pusat BYD pertama di Pusat Beli-belah Hartamas | DagangNews Skip to main content

Harmony Auto lancar Pusat BYD pertama di Pusat Beli-belah Hartamas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - Harmony Auto, kumpulan pengedar kereta komprehensif terkemuka di China, secara rasmi melancarkan Pusat BYD pertamanya di Pusat Beli-belah Hartamas.

 

Berkeluasan kira-kira 8,000 kaki persegi, cawangan BYD itu menawarkan pelbagai kemudahan yang direka untuk meningkatkan pengalaman pelanggannya termasuk kawasan pameran kereta yang luas, ruang istirahat pelanggan yang mewah, bilik perbincangan khusus dan kawasan penghantaran.

 

Bagi kemudahan tambahan, kawasan penerimaan selepas jualan, yang menggabungkan reka bentuk moden dengan proses perkhidmatan yang diperibadikan, boleh diakses terus dari tempat letak kereta pusat beli-belah.

 

Di luar outlet itu, terdapat enam ruang letak kereta yang dilengkapi engan empat stesen pengecasan.

 

byd

 

Dengan pelan susun atur yang direka dengan teliti, cawangan terbaharu itu memastikan akses dan kemudahan yang lancar untuk pelanggan tetapi juga menunjukkan komitmen BYD terhadap rumusan mobiliti mampan.

 

Cawangan itu juga akan mempunyai pusat servis dan alat ganti, yang akan siap pada suku ketiga tahun ini. Dengan pusat 3S beroperasi sepenuhnya, cawangan BYD ini akan menjadi pusat 3S pertama yang terletak di pusat beli-belah.

 

Pengurus Besar BYD Asia-Pasifik, Liang Xinyue berkata, cawangan BYD Hartamas bukan sahaja akan membawa inovasi kepada pasaran Malaysia tetapi juga menyuntik momentum baharu ke dalam dorongan mobiliti mesra alam negara.

 

byd

 

"Lokasi itu sangat ideal kerana menawarkan pelanggan kemudahan membeli-belah produk BYD dan juga servis kereta mereka.

 

"Cawangan baharu itu akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan hijau daripada pelanggan di kawasan sekitar Sri Hartamas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

byd

 

Pada masa ini, model BYD yang dijual di pasaran Malaysia ialah BYD Atto 3, BYD Dolphin dan BYD Seal

 

BYD dan Harmony Auto dijangka membuka lebih banyak rangkaian pengedar BYD di Malaysia. - DagangNews.com