Hartanah perindustrian, ‘lubuk’ baharu - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Hartanah perindustrian, ‘lubuk’ baharu - CGS CIMB

Gambar hiasan
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. -  Walaupun perniagaan hartanah antara yang terjejas akibat penularan COVID-19, namun industri itu dijangka menawarkan keuntungan lumayan pada tahun ini. 

 

Apatah lagi bagi pemaju hartanah yang memiliki aset tanah besar dan bernilai tinggi, terutamanya di kawasan perindustrian yang berpotensi.

 

Prospek baharu ini didorong oleh industri e-perdagangan yang pesat membangun dengan banyak syarikat mula berkembang ke dalam perniagaan berkaitan penjagaan kesihatan susulan penularan COVID-19. 

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB Research menjangkakan sektor itu mampu berkembang maju. 

 

“Kami fikir pemaju perbandaran dengan keupayaan tinggi untuk pengambilan tanah dan kepakaran dalam membina unit perindustrian kemungkinan akan mendapat manfaat daripada trend ini.

 

“Kami yakin SP Setia Berhad dapat memanfaatkan tanah besarnya seluas 8,653 ekar (setakat akhir September 2020) dan meneroka ruang industri yang berkembang pesat,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Setakat 31 Oktober 2020, SP Setia berjaya meraih sehingga RM2.8 bilion jualan baharu dan tempahan hartanah sebanyak RM1.7 bilion. 

 

Susulan momentum penjualan melonjak semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan gabungan produk rumah kediaman yang baik, tidak mustahil untuk kumpulan syarikat itu mampu mencapai sasaran jualan tahun kewangan 2020 yang diunjurnya. 

 

“Kami mendapati inventori hartanah yang siap menurun kepada RM1 bilion pada suku ketiga 2020 (3Q20) daripada RM1.4 bilion pada 4Q19 susulan usaha pengewangan yang berterusan.

 

“Untuk mengadaptasi kebiasaan baharu, SP Setia akan menekankan lagi inisiatif pemasaran digital serta acara secara maya memandangkan pembeli kini lebih cenderung ke arah platform digital untuk mencari rumah selepas penularan COVID-19. 

 

“Kami mendapati hampir semua kerja-kerja di kawasan projek SP Setia berjalan semula, pada kapasiti 80% hingga 90% tenaga kerja, mengikut prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan pandemik COVID-19,” tambah CGS-CIMB. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham SP Setia dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM1.06.

 

Setakat 2.33 petang, nilai saham SP Setia merudum RM0.015 kepada RM0.940 daripada paras yang ditutup, RM0.955. - DagangNews.com