Hasil rendah bagi segmen pembangunan hartanah, untung bersih Glomac susut lebih 90% kepada RM311,000 pada 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

Hasil rendah bagi segmen pembangunan hartanah, untung bersih Glomac susut lebih 90% kepada RM311,000 pada 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - Untung bersih Glomac Berhad menyusut lebih 90% kepada RM311,000 pada suku kedua berakhir 31 Oktober 2023 (2QFY24) berbanding RM11.4 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM55.8 juta bagi suku semasa, mewakili penurunan sebanyak RM22.6 juta berbanding RM78.4 juta pada tahun sebelumnya manakala hasil terkumpul bagi tahun semasa susut daripada RM143.9 juta pada tahun sebelumnya kepada RM115.9 juta.

 

Penurunan itu adalah disebabkan hasil lebih rendah bagi segmen pembangunan hartanah, menyebabkan keuntungan kasar yang lebih rendah bagi tempoh berkenaan.

 

Katanya, hasil segmen pembangunan hartanah bagi suku semasa dan kumulatif dicatatkan pada RM50.5 juta mewakili penurunan sebanyak RM22.8 juta dan RM104.6 juta mewakili penurunan sebanyak RM29.4 juta.

 

"Ini disebabkan oleh penyiapan beberapa projek pembangunan hartanah pada tahun kewangan sebelumnya, oleh itu fasa berterusan yang lebih rendah telah diiktiraf berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

 

"Tiada sebarnag pelancaran projek baharu bagi suku semasa," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu kekal berhati-hati terhadap perubahan dalam pasaran hartanah.

 

Katanya, walaupun kebimbangan terhadap inflasi semakin meningkat, kumpulan itu dapat melihat potensi peningkatan dalam jualan serta kestabilan dalam bekalan tenaga kerja dan kadar faedah.- DagangNews.com