KUALA LUMPUR 27 Jan - Hextar Industries Berhad mencatatkan untung bersih RM4 juta dan hasil disatukan sebanyak RM57.2 juta bagi suku kelima berakhir 30 November 2022 (5QFY22).
Kumpulan itu berkata, untung bersih yang dicatatkan itu adalah 30% lebih tinggi berbanding RM3.1 juta yang dicatatkan pada 4QFY22.
Mereka juga mencatatkan hasil terkumpul yang disatukan sebanyak RM315 juta dan untung bersih RM12.8 juta bagi tempoh kewangan berakhir 30 November 2022.
Kumpulan itu baru-baru ini telah menukar tahun kewangannya dari 31 Ogos kepada 31 Disember.
Oleh itu, laporan kewangan interim meliputi tempoh lima belas bulan bermula 1 September 2021 hingga 30 November 2022.
Tiada angka perbandingan untuk tempoh lima belas bulan ini.
Memandangkan pengambilalihan Hextar Fertilizers Limited Group hanya selesai pada Disember 2022, keputusan kewangan kumpulan itu belum disatukan dalam prestasi kewangan suku semasa.
Mengulas mengenai keputusan 5QFY2022, Pengarah Urusan Kumpulan, Benny Ang berkata, pihaknya melaporkan untung bersih yang lebih tinggi berbanding suku sebelumnya disebabkan marigin keuntungan yang lebih baik daripada produk campuran mereka.
Katanya, margin keuntungan kasar kumpulan meningkat daripada 14% kepada 18% berbanding suku sebelumnya.
"Penyempurnaan pengambilalihan HFL pada Disember 2022, kami akan dapat menyatukan keputusan kewangan pada suku terakhir tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2022.
"Dengan penggabungan kumpulan baja baharu, kapasiti tahunan baja kompaun kami akan meningkat lapan kali ganda kepada 679,000 tan metrik dan ia akan menyokong strategi kami untuk mengembangkan perniagaan baja teras kami di seluruh negara.
"Kami menantikan prestasi kewangan kami pada suku akan datang dan kami sangat teruja dengan prospek kumpulan," katanya. - DagangNews.com