HLIB mulakan liputan ke atas 99 Speed Mart dengan saranan 'beli', TP RM1.98 sesaham | DagangNews Skip to main content

HLIB mulakan liputan ke atas 99 Speed Mart dengan saranan 'beli', TP RM1.98 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research memulakan liputan terhadap 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM1.98 sesaham.

 

Katanya, harga sasaran itu adalah berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 30 kali ganda untuk pendapatan tahun kewangan 2025 (FY25).

 

Firma penyelidikan itu berkata, PE itu mewakili kira-kira 40% premium berbanding rakan setara 99 Speed Mart, yang mencerminkan kepimpinan pasaran dan strategi pengembangan kedai yang agresif.

 

"Kami mengunjurkan 99 Speed Mart akan mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun dalam hasil dan keuntungan bersih dari FY23 hingga FY26, didorong oleh penambahan 250 kedai runcit setiap tahun dan pertumbuhan jualan di kedai sama yang stabil sebanyak 2% setahun.

 

"Syarikat itu komited kepada dasar pembayaran dividen 50%, disokong oleh penjanaan aliran tunai percuma yang teguh dan kunci kira-kira yang sihat dengan kedudukan tunai bersih," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: 99 Speed ​​Mart dibuka 12.1% lebih tinggi pada penampilan pertama IPO terbesar Malaysia dalam tempoh tujuh tahun

 

99 Speed Mart membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini, menjadikan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu sebagai yang terbesar di Malaysia dalam tempoh tujuh tahun, sejak penyenaraian Lotte Chemical Titan Holding Bhd yang bernilai RM3.77 bilion pada 2017.

 

Saham tersebut mencatat penampilan yang kukuh, meningkat 20 sen atau 12.12% kepada RM1.85, naik daripada harga IPO pada RM1.65, dengan 53.82 juta saham diniagakan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu beroperasi dalam segmen industri runcit berasaskan barangan runcit, terutamanya dalam segmen pasar mini yang sedang berkembang dan berdaya tahan.

 

Menurut Frost & Sullivan, kumpulan mempunyai bahagian pasaran yang kukuh sebanyak 40.1% mengikut jualan dalam industri pasar mini pada 2023 yang mempunyai bilangan cawangan terbesar dalam kalangan pemain pasar mini Malaysia.

 

"Bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk pengembangan di kawasan Pantai Timur dan Malaysia Timur yang masih mempunyai kadar penembusan yang rendah," katanya.- DagangNews.com