Bajet 2025 dijangka tentukan pendirian kerajaan terhadap kedudukan Malaysia dalam kitaran pelaburan pusat data - HLIB | DagangNews Skip to main content

Bajet 2025 dijangka tentukan pendirian kerajaan terhadap kedudukan Malaysia dalam kitaran pelaburan pusat data - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Sept - Bajet 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober 2024 dijangka menentukan pendirian kerajaan terhadap kedudukan Malaysia dalam kitaran pelaburan pusat data (DC).

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research meramalkan terdapat tiga perkara yang mungkin berlaku termasuk langkah sokongan yang boleh menggalakkan pelaburan pusat data selanjutnya di negara ini atau mengenakan kelulusan yang lebih ketat atau kadar utiliti lebih tinggi bagi menguruskan pengembangan sektor itu.

 

Katanya, terdapat juga kemungkinan tiada sebarang perubahan dasar besar terhadap polisi sedia ada.

 

"Mengambil kira momentum semasa dalam pelaburan DC, terutamanya daripada pemain global seperti Amzon dan Microsoft, kerajaan tidak mungkin melaksanakan dasar sekatan yang boleh menghalang pertumbuhan.

 

"Sebarang langkah sokongan akan memberi manfaat kepada pemaju dengan pendedahan kepada sektor DC, khususnya Mah Sing dan Sime Darby Property, serta mereka yang mempunyai simpanan tanah yang ketara di kawasan tumpuan seperti Johor dan Selangor," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, gergasi teknologi global seperti Amazon, Google, Microsoft dan ByteDance mengumumkan pelaburan di Malaysia.

 

Katanya, syarikat-syarikat ini dengan pantas mengembangkan kapasiti DC mereka untuk menyokong pembangunan kecerdasan buatan (AI) dengan memberi keutamaan kepada kelajuan memasuki pasaran berbanding perbelanjaan modal.

 

"Trend ini memberi manfaat kepada pemaju hartanah dan pemilik tanah, kerana firma ini sanggup membeli tanah pada harga yang kompetitif untuk memenuhi keperluan pengembangan mereka," katanya.

 

Selain itu, HLIB berkata, pelaburan RM160 bilion yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada separuh pertama 2024 mengukuhkan momentum kukuh dalam aktiviti pelaburan di negara ini.

 

"Pemaju industri dan pemilik pejabat bersedia untuk mendapat manfaat daripada kemasukan ini, diikuti dengan pembangunan kediaman, yang akan mendapat keuntungan daripada kesan limpahan ekonomi dan pengurangan tekanan bekalan perumahan apabila pemaju mempelbagaikan ke dalam projek perindustrian dan komersial," katanya.

 

Pilihan utama firma penyelidikan dalam sektor itu ialah IOI Properties Group Bhd, OSK Holdings Bhd, Sime Darby Property dan Sunway Bhd. - DagangNews.com