KUALA LUMPUR 17 Sept - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Delivery Hero Malaysia Sdn Bhd (foodpanda) melancarkan Program Literasi Kewangan Go Giggers 2024 bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakan riders.
Dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN), inisiatif itu akan memberi manfaat dan pendedahan kepada lebih kurang 5,000 rakan riders.
Program itu bertujuan untuk menekankan aspek disiplin dan komitmen yang tinggi dalam memupuk tabiat menyimpan dan perbelanjaan berhemat dalam kalangan rakan riders.
Katanya, program itu akan mendidik rakan riders tentang pengurusan kewangan melalui perkongsian infografik, video pendidikan dan audio siar, JomBorak.
“Rakan riders akan diberi bimbingan dan tunjuk ajar secara intensif selama enam bulan melalui pelbagai kaedah pembelajaran termasuklah kaedah gamifikasi.
“Mereka akan dipantau dan dinilai, kemajuan mereka juga direkod bagi memastikan bimbingan serta tunjuk ajar mencapai matlamat program,” ulas AKPK dan foodpanda dalam kenyataan hari ini.
Menurut satu kajian Metlife yang melibatkan 1,000 pekerja gig, ia mendapati 30% responden menabung secara konsisten, manakala 61% lagi menabung secara tidak tetap.
Bakinya pula berkata mereka kekurangan dana akibat tiada tabungan tetap atau tiada tabungan langsung.
Oleh kerana itu, program itu merupakan satu pendekatan berkenaan kepentingan pengurusan kewangan yang betul bagi memastikan pekerja gig dapat menampung keperluan hidup.
Program tersebut disempurnakan dengan majlis tandatangan nota kolaborasi oleh Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional, Jay Khairil Jeremy Abdullah dan Pengarah Operasi foodpanda, Shubham Saran.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengurus Besar Bahagian Pendidikan dan Jangkaun Masyarakat, Nor Fazleen Zakaria berkata, program itu selaras dengan misi AKPK memperkasakan individu dengan ilmu pengurusan kewangan peribadi agar mereka lebih berdisiplin dan bertanggungjawab serta menguasai situasi kewangan mereka dengan bijak.
Selain itu, Shubham Saran berkata, kerjasamanya dengan AKPK dan BSN merupakan satu langkah memperkasakan rider foodpanda dengan pengetahuan dan alat untuk mengatasi cabaran kewangan.
“Ia juga sebahagian daripada program Panda Hearts, iaitu program utama kami yang bertujuan untuk memperkasa dan menyokong rakan penghantar.
“Rider kami ialah tulang belakang operasi kami, dan melalui inisiatif seperti ini, kami berhasrat untuk menyokong mereka bukan sahaja dalam pekerjaan tetapi juga dalam membina masa depan yang lebih terjamin untuk diri dan keluarga mereka," ujar beliau.- DagangNews.com