HRD Corp galas tanggungjawab selaku agensi pusat pembangunan modal insan Malaysia - PM | DagangNews Skip to main content

HRD Corp galas tanggungjawab selaku agensi pusat pembangunan modal insan Malaysia - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Dis - Kerajaan mengumumkan bahawa Human Resource Development Corporation (HRD Corp) akan menggalas tanggungjawab selaku agensi pusat untuk semua program pembangunan modal insan untuk semua warga Malaysia

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu akan diterjemahkan menerusi platform bersepadu atau ‘single window’ untuk rakyat Malaysia mencari dan memohon program pembangunan kemahiran yang ditawarkan kerajaan.

 

Beliau berkata, platform bersepadu itu akan diakses lebih sejuta rakyat Malaysia pada tahun hadapan dengan sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian serta agensi kerajaan dan seramai 220,000 peserta akan menyertainya dengan pembiayaan kerajaan.

 

"Selaras dengan misi HRD Corp untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat Malaysia dengan pembelajaran sepanjang hayat dan memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan, saya berharap HRD Corp akan dapat memberikan manfaat serta impak yang besar kepada negara untuk jangka panjang.

 

"HRD Corp mampu terus menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi berteraskan ekonomi digital, melalui pembangunan aset negara yang paling berharga, yakni Keluarga Malaysia sendiri," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jenama HDR Corp dan Platform Sehenti Program Kemahiran, di sini hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, selain mempekenalkan inisiatif-inisiatif baharu, HRD Corp terus memperkasa fungsi utamanya iaitu pengumpulan levi dan pengangihan dana untuk program latihan kemahiran oleh majikan berdaftar.

 

Perdana Menteri berkata, sepanjang tahun lalu, HRD Corp telah mengagihkan hampir RM420 juta untuk program latihan kemahiran majikan berdaftar yang merangkumi lebih daripada 416,000 pekerja  yang menjalani pelbagai skim latihan kemahiran. 

 

Beliau berkata, pada tahun ini, jumlah pungutan levi dijangka mencecah RM680 juta dan sebahagiannya telah digunakan untuk melatih 500,000 pekerja. 

 

Beliau berkata, perkara itu selaras Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2001 yang menyaksikan peningkatan majikan berdaftar dengan HRD Corp daripada 33,000 majikan kepada 65,400 majikan dan ia menunjukkan peningkatan lebih 96%, melibatkan hampir 4 juta pekerja dalam tempoh setahun.

 

"Berdasarkan pencapaian yang memberangsangkan ini, saya yakin HRD Corp akan menjadikan pengurusan latihan lebih sistematik dan dapat memberi tumpuan penuh terhadap latihan berdasarkan keperluan semasa pihak industri. 

 

"Kerajaan juga telah menetapkan semua latihan peningkatan kemahiran diletakkan di bawah satu kementerian sahaja iaitu Kementerian Sumber Manusia yang dikendalikan oleh HRD Corp bagi mengelakkan pertindihan," katanya. - Dagangnews.com