KUALA LUMPUR 6 Jun - HSS Engineers Berhad menerusi anak syarikatnya, HSS Integrated Sdn. Bhd. (HSSI) menerima kontrak bernilai RM8.9 juta daripada China State Construction Engineering (M) Sdn. Bhd. bagi penyediaan reka bentuk kejuruteraan profesional serta perkhidmatan perundingan berkenaan pusat data di Cyberjaya untuk Infinaxis Data Centre Sdn. Bhd.
Pelanggan berkenaan adalah anak syarikat China State Construction Engineering Corporation.
Perkhidmatan yang dijalankan oleh HSSI hendaklah termasuk tetapi tidak terhad kepada penyediaan reka bentuk kejuruteraan awal dan terperinci.
Menurut pengaturan gabungan eksklusif antara HSSI dan HSS Engineering Sdn. Bhd. (HSSE), anak syarikat milik penuh HEB, HSSI dan HSSE akan bekerjasama secara eksklusif untuk melaksanakan dan menyiapkan perkhidmatan itu.
"Kontrak itu bermula pada 15 Mei 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Perkhidmatan itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih HEB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 hingga 31 Disember 2025.
Perkhidmatan tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan/atau struktur pegangan saham HEB.
"Perkhidmatan itu adalah sebahagian daripada urusan biasa kumpulan itu dan ia tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham HEB atau mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan," katanya. - DagangNews.com