Hyundai tutup ibu pejabat di Malaysia, ‘pindah’ ke Indonesia | DagangNews Skip to main content

Hyundai tutup ibu pejabat di Malaysia, ‘pindah’ ke Indonesia

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Hyundai Motor Corporation dilaporkan bakal menutup ibu pejabat perniagaan rantau Asia Pasifiknya di Malaysia dan ‘berpindah’ ke Indonesia. 

 

Bagaimanapun, syarikat itu adalah berbeza dengan pengedar sah kenderaan Hyundai di Malaysia, Hyundai Sime Darby Motors. 

 

Ini selepas portal kenderaan, Wap Car menerima berita bahawa Hyundai Training Academy iaitu ibu pejabat Hyundai Motor Corporation akan ditutup pada penghujung tahun ini. 

 

Dilaporkan, ini adalah susulan Indonesia yang lebih mesra terhadap pembangunan kenderaan elektrik (EV) menjadi tumpuan rata-rata syarikat pembuat kenderaan ketika ini. 

 

Presiden negara republik itu, Joko Widodo menyatakan komitmen untuk mempromosi EV di mana menjadi ‘lubuk’ utama buat syarikat pengeluar kenderaan. 

 

Hyundai juga mengesahkan bahawa syarikat itu akan melabur sehingga AS$1.55 bilion (RM4.02 bilion) di Indonesia sehingga 2030. 

 

Dalam masa sama, Toyota juga dikatakan bakal mengambil langkah sama dengan melabur sebanyak AS$2 bilion (RM8.04 bilion) di Indonesia sehingga tahun 2030 untuk membangunkan kenderaan EV dan hibrid. 

 

“Ekoran kerajaan Indonesia telah mempunyai pelan pembangunan EV , Toyota mempertimbangkan negara itu sebagai destinasi pelaburan EV utama,” jelas Presiden Toyota, Akio Toyoda menurut laporan sama.  

 

Walaupun Malaysia menwar-warkan hasrat negara untuk giat memupuk projek EV, namun banyak syarikat pengeluar kenderaan didakwa berhenti melabur di Malaysia. 

 

Ini dijangka memberi tamparan buat industri kenderaan di negara ini seterusnya menjejaskan pasaran buruh dalam sektor itu. - DagangNews.com