Indonesia kekal pasaran terbesar pelancongan perubatan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Indonesia kekal pasaran terbesar pelancongan perubatan Malaysia

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept - Indonesia kekal sebagai pasaran terbesar bagi pelancongan perubatan Malaysia, menjana 64.9% daripada jumlah pelancong perubatan tahun lepas, menurut TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selain Indonesia, pesakit dari China dan India juga memainkan peranan penting dalam pertumbuhan sektor itu, masing-masing menyumbang 5% dan 3.1%, daripada jumlah pelancong perubatan.

 

"Hampir separuh daripada pelancong perubatan dari China mendapatkan rawatan kesuburan dan kanser, manakala pesakit dari India cenderung memilih rawatan perubatan am dan khusus," kata TA Securities dalam nota penyelidikan.

 

Dengan pelaksanaan dasar bebas visa selama 30 hari sehingga akhir 2025, Majlis Perjalanan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) menjangkakan peningkatan ketara dalam pelancong perubatan dari kedua-dua negara.

 

TA Securities berkat hab perubatan di Pulau Pinang menyumbang 40.5% dan Kuala Lumpur menyumbang 41% daripada hasil pelancongan perubatan negara pada 2023. 

 

Malaysia terus menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai penyedia penjagaan perubatan yang berkualiti, dengan dua hospital tempatan Gleneagles Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Sunway yang disenaraikan antara Hospital Terbaik Dunia 2024. 

 

Tambahan pula, MHTC memperluaskan kerjasama dengan kerajaan Maldives dan negara-negara di Timur Tengah bagi menarik lebih ramai pelancong perubatan. 

 

Perkongsian tersebut termasuk mempromosikan rawatan khusus untuk komuniti tertentu, seperti penduduk Islam China yang mencari penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.

 

Mengenai persaingan serantau, TA Securities melaporkan Thailand dan Singapura kekal sebagai pesaing utama Malaysia. 

 

“Thailand mencatatkan pendapatan pelancongan perubatan tertinggi di Asean, menjana sekitar AS$850 juta pada 2023, mengatasi Malaysia RM2.25 bilion.

 

“Walaupun Singapura berskala lebih kecil, negara itu menyasarkan pesakit yang memerlukan rawatan kompleks daripada pasaran maju.

 

“Bagaimanapun, mata wang Singapura yang kukuh mengurangkan daya tarikannya kepada pelancong perubatan sensitif kos,” ulasnya. 

 

TA Securities juga menjelaskan kerajaan Indonesia sedang giat meningkatkan infrastruktur penjagaan kesihatan domestiknya bagi mengurangkan kebergantungan rakyatnya terhadap rawatan di luar negara. 

 

Bagaimanapun, usaha ini dijangka mengambil masa, kerana ramai rakyat Indonesia, khususnya mereka yang berpendapatan tinggi, terus mendapatkan rawatan perubatan di luar negara. - DagangNews.com