KUALA LUMPUR 29 Mei - CGS-CIMB Research menyemak naik unjuran inflasi kepada 3.3% pada tahun ini berbanding 3.0% sebelum ini selepas mengambil kira subsidi untuk ayam tamat pada Julai 2023 dan tarif elektrik baharu untuk pengguna volum tinggi akan berkuat kuasa pada separuh kedua tahun ini.
Firma itu berkata, pada awal tahun ini kerajaan menyuarakan pandangan untuk mengapungkan harga ayam menjelang Julai ini dan dipercayai akan meningkatkan risiko tekanan harga pada masa hadapan.
Katanya, melihat kepada kos makanan, seperti kacang soya dan jagung, harga menjadi lebih rendah tetapi kekal tinggi secara relatif, yang boleh bermakna risiko pemindahan kos kepada pengguna.
"Bagaimanapun, menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, kami menjangkakan satu lagi pusingan langkah skim harga maksimum akan dilaksanakan bagi mengurangkan tekanan komponen makanan.
"Kerajaan telah mengumumkan rancangan untuk menyemak semula tarif elektrik dengan mengecualikan isi rumah berpendapatan tinggi daripada subsidi elektrik semasa untuk separuh kedua 2023.
BACA JUGA: Inflasi Malaysia meningkat kepada 3.3% pada April 2023 - DOSM
"Butiran langkah itu belum diumumkan oleh kerajaan, tetapi kami menganggarkan pelarasan kepada tarif elektrik boleh meningkatkan IHP yoy antara 20 hingga 60 bp tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, inflasi Malaysia meningkat 3.3% pada April pada 130 berbanding 125.9 pada bulan yang sama pada 2022, sejajar dengan jangkaan pasaran.
Inflasi utama bulanan pada April meningkat 0.1%, kadar yang sama dicatatkan pada bulan sebelumnya
Pemacu utama inflasi ialah restoran dan hotel, serta makanan dan minuman bukan alkohol, masing-masing meningkat 6.6% dan 6.3%, bagaimanapun, peningkatan yang lebih perlahan sebanyak 2.3% dalam pengangkutan mengimbangi sebahagian inflasi. - DagangNews.com