Isu kekurangan pekerja ladang sawit IOI Corporation diunjur menurun kepada 10% pada 2023, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Isu kekurangan pekerja ladang sawit IOI Corporation diunjur menurun kepada 10% pada 2023, kata AmInvestment

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jan - Isu kekurangan tenaga kerja ladang sawit IOI Corporation Berhad diunjur berkurangan kepada 10% pada 2023 berbanding 30% pada tahun lalu.

 

AmInvestment Bank Research percaya bahawa impak pertambahan pekerja bagi tuaian buah tandan segar (BTS) hanya dirasai pada FY24 kerana pekerja terlibat tiba pada 2HFY22.

 

Katanya, keluaran BTS kumpulan itu dijangka mendatar pada FY23 sebelum meningkat sebanyak 6% pada FY24 dan percaya hasil tuaian itu akan mula meningkat pada 2HFY23 selepas menerima 1,400 pekerja dari Indonesia serta Nepal.

 

"Kesan bilangan pekerja yang lebih tinggi, kami berpendapat bahawa kos pengeluaran kumpulan itu akan meningkat kepada RM2,100 bagi setiap tan pada FY23 berbanding RM2,00 bagi setiap tan pada FY22.

 

"Kos pembayaran gaji juga akan meningkat sebanyak 10% bagi FY23 manakala kos baja akan menjadi lebih rendah sebanyak 5%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun jumlah pekerja semakin bertambah, namun kumpulan itu tidak akan membina rumah baharu untuk mereka.

 

Katanya, jumlah rumah sedia ada adalah mencukupi kerana mereka menggantikan pekerja yang meninggalkan kumpulan itu pada 2021 dan 2022.

 

"Bagaimanapun, perbelanjaan modal kumpulan itu dijangka bertambah kerana mereka akan menanam semula menggantikan pokok tua dan menaik tafaf kemudahan perumahan," katanya.

 

Firma itu menjangkakan, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pembuatan (penapisan dan oleokimia) kumpulan akan jatuh sebanyak 7% kepada RM466 juta pada FY23.

 

"Kami percaya bahagian oleokimia akan terjejas oleh harga jualan yang lebih rendah dan jumlah jualan yang lebih lemah pada FY23," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM3.85 sesaham. - DagangNews.com