JAG, Mitsubishi Materials jalin kerjasama kendali perniagaan kitar semula perkakas rumah di Malaysia | DagangNews Skip to main content

JAG, Mitsubishi Materials jalin kerjasama kendali perniagaan kitar semula perkakas rumah di Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - JAG Bhd menerusi Jaring Metal Industries Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Mitsubishi Materials Corporation bagi mengendalikan perniagaan kitar semula perkakas rumah di Malaysia.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, skop perniagaannya merangkumi pengumpulan dan kitar semula perkakas rumah dan penjualan sumber yang diperoleh melalui proses kitar semula.

 

Katanya, menerusi kerjasama itu juga, ia membolehkan kumpulan itu meneroka sumber sisa yang lebih luas serta memanfaatkan peluang pasaran dan jika berjaya, kumpulan itu akan mendapat aliran pendapatan tambahan.

 

Dengan memanfaatkan sisa perkakas rumah, kumpulan itu boleh memaksimumkan kecekapan operasi kitar semulanya dan meningkatkan pemulihan sumber secara keseluruhan.

 

"Perkongsian, perkongsian strategik ini mengurangkan risiko kewangan dengan berkongsi beban pelaburan dan tanggungjawab operasi.

 

"Ia akan meningkatkan keupayaan teknologi dan kepakaran operasi kumpulan, memastikan kejayaan pelaksanaan amalan terbaik dalam kitar semula," katanya.

 

MoU itu tidak mempunyai sebaran kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham JAG.

 

Ia juga dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material yang ketara ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan JAG bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. - DagangNews.com