Jangan berulang lagi kibaran Jalur Gemilang terbalik (SURAT PEMBACA) | DagangNews Skip to main content

Jangan berulang lagi kibaran Jalur Gemilang terbalik (SURAT PEMBACA)

Saudara Pengarang,

 

 

KURANG daripada tiga hari lagi kita semua akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64. Seperti tradisi saban tahun sebelum ini, terdapat pelbagai aktiviti dan pengisian rapi telah diatur oleh semua pihak untuk menyemarakkan lagi sambutannya; misalnya kibaran Jalur Gemilang, pertandingan berunsurkan patriotisme, upacara keagamaan menurut kepercayaan masing-masing, aktiviti kebajikan dan sebagainya.

 

Segala persiapan ini diadakan untuk menzahirkan semangat cintakan negara dan seterusnya menyatakan rasa syukur atas nikmat kemerdekaan hasil daripada jerih payah perjuangan oleh para pejuang negara terdahulu.

 

Namun demikian, kita sama sekali tidak akan melupakan sama sekali bahawa kemeriahan rakyat dalam meraikan menjelangnya tarikh keramat tersebut pernah dicemari dengan beberapa insiden yang “memualkan lagi tidak menyenangkan sama sekali”.

 

Ini kerana, ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menghina Jalur Gemilang dengan mengibarkannya secara terbalik; samada di bangunan rasmi kerajaan mahupun dalam kawasan premis persendirian.

 

Insiden ini turut diburukkan lagi dengan tindakan segelintir pihak yang telah menukar warna bendera lambang kemegahan negara tersebut. Semua insiden ini sedikit sebanyak telah mencetuskan ‘ribut dalam cawan’ dalam kalangan warga Malaysia.

 

Beberapa laporan polis berkaitan insiden tersebut telah dibuat oleh netizen yang prihatin terhadap perbuatan yang tidak bertanggungjawab tersebut supaya diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Ini seterusnya telah mencetuskan pelbagai reaksi segera yang berbeza dalam kalangan netizen.

 

Sesetengah pihak berpendapat bahawa insiden tersebut adalah “sesuatu tindakan yang tidak disengajakan dan perlu dimaafkan”. Namun, bagi pihak yang lain pula, perbuatan tersebut seolah-olah tidak menghormati identiti dan jati diri negara serta sepatutnya dikenakan hukuman yang setimpal.

 

 

bendera

 

 

Jika dirujuk dari lunas perundangan Malaysia, Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963; bersama-sama dengan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 jelas menyatakan bahawa mana-mana individu yang menghina atau melakukan provokasi yang melampau terhadap Jalur Gemilang dengan tujuan mencemar nama baik atau menghasut juga boleh dikenakan tindakan yang sewajarnya menurut lunas-lunas perundangan.

 

Jika ditinjau dari sejarah lampau berkaitan ilmu peperangan, bendera atau panji sesebuah negara atau angkatan tentera yang berperang adalah sesuatu yang suci dan dipandang tinggi serta perlu dipertahankan semampu mungkin walaupun terpaksa mengorbankan jiwa.

 

Ini kerana jika panji atau bendera tersebut jatuh ke tangan pihak musuh, secara dasarnya maruah dan harga diri pasukan tersebut telah pun tewas. Ini seterusnya akan menyebabkan semangat juang tentera pasukan tersebut akan hilang dan seterusnya akan mengangkat bendera putih dengan mudah.

 

Oleh yang demikian, maka tidak hairanlah sekiranya setiap tentera akan berjuang secara bermati-matian untuk memastikan agar lambang maruah negara bangsa itu akan terus megah berkibar di angkasa raya sebelum menikmati halwa kemenangan hakiki.


 

tugu negara

 

 

Begitulah sedikit sebanyak gambaran ringkas berkaitan dengan maruah dan prestij sesebuah angkatan tentera di medan peperangan yang perlu dipertahankan dengan sebaik mungkin.

 

Secara tuntasnya, Jalur Gemilang bukanlah sekadar bendera biasa kerana ia membawa 1,001 maksud dan begitu dekat di hati semua warga rakyat. Selain daripada dianggap sebagai identiti dan jati diri negara, ia juga menjunjung tinggi aspirasi dan kebersamaan rakyat di bawah lembayung kepimpinan yang adil lagi demokratik.

 

Selain itu, Jalur Gemilang turut menzahirkan rasa keyakinan dan prinsip ketaatan rakyat di bawah payung pemerintahan Seri Paduka Baginda KDYMM Agong.

 

Oleh yang demikian, penulis berpandangan secara peribadi bahawa tindakan sesetengah pihak yang mencemarkan kesucian dan ketinggian martabat maruah lambang negara tersebut adalah sesuatu yang ‘jijik’ dan tidak sepatutnya diterima oleh akal yang waras; lebih-lebih sekiranya ia diakukan oleh warganegara Malaysia itu sendiri.

 

Sebarang alasan atau justifikasi untuk ‘menghalalkan’ perbuatan tersebut adalah tidak wajar untuk diterima sama sekali. Justeru, adalah lebih manis dan elok sekiranya semua lapisan masyarakat yang matang dan waras untuk sama-sama menghayati dan menghadam penuh erti ‘Keluarga Malaysia’ dengan tindakan yang lebih berfaedah; bukannya sia-sia sempena lebih 6 dekad kita mengecapi erti kemerdekaan ini.

 

Buat semua warga Malaysia, penulis ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-64 dan Dirgahayu Jalur Gemilang!

 

 

Mohd Ab Malek bin Md Shah
Pensyarah Kanan
Jabatan Undang – Undang
UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah