Jangan jadikan SPV 5G satu kesilapan | DagangNews Skip to main content

Jangan jadikan SPV 5G satu kesilapan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


Setelah hampir 2 minggu pengumuman mengenai penubuhan syarikat entiti khusus (SPV) bagi memantau perjalanan teknologi 5G di Malaysia, banyak perkara 'kurang jelas' dibangkitkan pelbagai pihak.

 

Kebimbangan ini bukan sahaja melihat kepada pelaburan kerajaan mencecah RM15 bilion tetapi penubuhan SPV yang meragukan.

 

Menyedari kebimbangan yang mula disuarakan pihak-pihak tertentu, Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC) mengeluarkan kenyataan Selasa lalu yang memberi jaminan akan memantau SPV ini melalui instrumen kawal selia yang relevan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

 

Teknologi 5G sebenarnya telah sekian lama kita nanti-nantikan. Ini akan menjadi wajah kepada sebuah negara maju.

 

Ia ibarat memenuhi impian rakyat Malaysia untuk menikmati perkhidmatan premium jalur lebar 'berkelas tinggi, mewah dan sofistikated' meskipun penggunaan 4G ketika ini di beberapa kawasan masih lagi tersekat-sekat.

 

Tempoh yang kita rasakan lama menanti 5G akan menjadi kenyataan akhir tahun ini. Jadi, semua cerita yang diuar-uarkan mengenai kelebihan teknologi ini kita harapkan juga menjadi kenyataan seperti diimpikan. 

 

Namun, di sebalik menyambut kedatangan 5G ini, ia sedikit tercalar dengan keputusan kerajaan mewujudkan SPV yang dikenali Digital Nasional Berhad (DNB). 

 

Apa yang kita tahu mengenai DNB? Ini 5 faktanya : 

 

  • Dilesenkan di bawah AKM 1998 dan SPV milik penuh Kementerian Kewangan

 

  • Seperti juga mana-mana pemegang lesen lain dalam industri komunikasi dan multimedia, DNB adalah tertakluk kepada kawal selia oleh MCMC, walaupun entiti berkenaan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan

 

  • Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dilantik sebagai pengerusi manakala Augustus Ralph Marshall sebagai ketua pegawai eksekutif. Ahli-ahli Lembaga Pengarah DNB terdiri daripada Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Yusof Ismail selain Datuk Mohamed Sharil Tarmizi serta Datuk Muthanna Abdullah

 

  • DNB berperanan sebagai pihak borong berkecuali (neutral), yang membolehkan syarikat telekomunikasi memberi tumpuan kepada teknologi terkini dalam membangunkan perkhidmatan runcit yang inovatif

 

  • Penawaran perkhidmatan secara borong oleh DNB akan dipantau secara rapi oleh MCMC berpandukan kepada peruntukan di bawah AKM 1998

 

 

Baca : SPV untuk 5G didakwa membimbangkan, mencurigakan

 

Baca : SPV 5G : MCMC akan pantau Digital Nasional Berhad

 

 

Tetapi, sejauh mana telusnya tadbir urus DNB ini kelak sukar untuk digambarkan setakat ini. 

 

Antara perkara yang mencetuskan tanda tanya, ialah model SPV itu sendiri kerana ia dilihat berbeza berbanding negara-negara lain di dunia, yang mana lesen 5G diberikan secara tender terbuka.

 

Difahamkan sebelum ini, MCMC menerusi pasukan bertindak 5G merancang pembangunan 5G dalam tempoh 5 tahun dengan kos berjumlah RM7.5 bilion tetapi di bawah pelan terbaharu ini, kerajaan perlu melabur sebanyak RM15 bilion untuk tempoh 10 tahun.

 

Dalam nota kajian CGS-CIMB bertarikh 22 Februari lalu, firma itu berpendapat, sebarang ketidaktentuan berkaitan kecekapan kos SPV dalam pelancaran rangkaian 5G ini sebahagiannya bergantung kepada bayaran yang diperlukan untuk menyewa infrastruktur sedia ada dan dari siapa.

 

Menurutnya, pelancaran yang mempunyai kos tinggi kemungkinan akan menyebabkan bayaran akses borong lebih tinggi dan mengurangkan manfaat penjimatan kos kepada syarikat telekomunikasi (sebaliknya mungkin terpaksa bersaing dengan harga runcit yang rendah ekoran kurangnya perbezaan rangkaian). 

 

Fitch Solutions Country Risk & Industry Research pula dalam kenyataan 24 Februari lalu menyifatkan SPV adalah berbeza dengan pendekatan tender terbuka yang kebiasaannya dilaksanakan di negara-negara Asia bagi pelancaran rangkaian jalur lebar generasi seterusnya.   

 

Malah, langkah kerajaan menggunakan SPV bagi spektrum 5G juga akan meningkatkan kos penggunaan kepada syarikat dan memperlahankan pembangunan teknologi di Malaysia termasuklah teknologi 5G. 

 

Pelaksanaan rangkaian 5G merupakan antara tunjang utama di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 19 Februari lalu. 

 

Inisiatif ini akan meletakkan Malaysia salah satu negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa sebenar.

 

Selain itu, di bawah MyDigital ini juga kerajaan akan membina pusat data berskala hiper dan perkhidmatan perkhidmatan Cloud Service Provider (CSP) menerusi 4 syarikat iaitu Telekom Malaysia, Microsoft, Google dan Amazon.

 

Hakikatnya, Malaysia tidak boleh gagal dalam usaha pembangunan 5G ini, kerana jika tidak kita akan ketinggalan. 

 

Berdasarkan data yang dikeluarkan Viavi Solutions menunjukkan 1,336 bandar sudah mempunyai rangkaian 5G, peningkatan sehingga 350% sepanjang tahun lalu di sebalik pandemik COVID-19 dan setakat Januari 2021 pula, lebih daripada 30% negara di dunia kini mempunyai ketersediaan 5G. 

 

Tiga negara utama yang mempunyai paling banyak rangkaian 5G ialah China dengan 341 bandar diikuti Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan (85). Kini, 54 bandar di United Kingdom juga sudah mempunyai rangkaian 5G manakala Sepanyol ialah 53, menurut data tersebut. 

 

Dalam erti kata lain, di sebalik kepentingan 5G ini, jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dan menggagalkan aspirasi Malaysia melangkah ke arah pendigitalan. 

 

Jangan jadikan isu berkaitan SPV ini satu lagi kesilapan buat kerajaan yang ketika ini masih bergelut dengan krisis COVID-19 yang belum berakhir. - DagangNews.com