Johor mahu jadi hab serantau industri robotik dan dron | DagangNews Skip to main content

Johor mahu jadi hab serantau industri robotik dan dron

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Johor berhasrat untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam pembuatan dron dan robotik di Malaysia pada masa hadapan menerusi pelancaran Zon Robotik dan Dron (DRZ) Iskandar hari ini. 

 

Malah, zon itu yang terletak di Medini, Iskandar Puteri merupakan yang pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara. 

 

DRZ merupakan sebahagian daripada program Iskandar New Economy Experience Talent (NEXT) yang diumumkan Iskandar Investment Bhd. (IIB) pada Oktober lalu.

Hasni Mohammad (tengah) pada majlis pelancaran DRZ Iskandar hari ini.
Hasni Mohammad (tengah) pada majlis pelancaran Zon Robotik dan Dron (DRZ) Iskandar hari ini di Iskandar Puteri, Johor.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerjasama strategik dalam DRZ akan meletakkan Iskandar Malaysia di hadapan dalam industri robotik dan dron di samping mewujudkan pelbagai peluang dan pekerjaan di negeri tersebut. 

 

Katanya, pelancaran itu juga seiring dengan hasrat utnuk mewujudkan Hab Digital di Iskandar Malaysia seperti diumumkan dalam Belanjawan Johor 2021 baru-baru ini.

 

"Saya difahamkan, kerjasama antara IIB, DHL dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (Magic) akan menarik pelaburan sehingga RM315 juta dan mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan dalam industri robotik dan dron menjelang 2025. 

 

"Dengan sasaran DRZ Iskandar untuk mewujudkan ekosistem robotik dan dron di Iskandar Puteri, Johor akan menjadi enjin pertumbuhan, peneraju teknologi dan hab pembangunan bakat di Malaysia dan rantau Asia Pasifik," katanya dalam majlis pelancaran DRZ Iskandar hari ini. 

 

Beliau menyifatkan kedudukan yang strategik Iskandar Malaysia dan Johor memberi kelebihan kepada negeri tersebut untuk menjadi hab serantau bagi industri digital dan inovasi. 

 

"Dalam masa sama Digital Johor Corporation akan dibangunkan tidak lama lagi dan ini akan memainkan peranan penting bersama-sama IIB bagi memastikan agenda ekonomi digital dapat dicapai," katanya. 

 

Sehubungan itu, beliau berharap IIB dan kumpulan syarikat untuk bekerjasama dengan Digital Johor Corporation serta agensi kerajaan yang lain bagi membangunkan ekosistem DRZ Iskandar. 

 

"Saya percaya, Medini dengan perbandaran yang lengkap melibatkan pelaburan bernilai RM1.4 bilion bagi membangunkan infrastruktur dan utiliti moden seperti telekomunikasi fiber optik, keterhubungan jalan, lampu trafik pintar, pengawasan dan jalur lebar dengan status MSC Cyber Centre," katanya. - DagangNews.com