Jumlah permohonan pinjaman pembelian rumah pada Mei 2024 meningkat kepada RM58.5 bilion | DagangNews Skip to main content

Jumlah permohonan pinjaman pembelian rumah pada Mei 2024 meningkat kepada RM58.5 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Jumlah permohonan pinjaman pembelian rumah pada Mei 2024 mencatatkan peningkatan kepada RM58.5 bilion, menandakan permintaan kukuh di dalam sektor itu.

 

MIDF Research berkata,  permohonan pinjaman yang lebih tinggi adalah sejajar dengan jangkaan permintaan yang lebih kukuh pada 2024, bersandarkan kepada prospek yang bertambah baik untuk sektor hartanah.

 

Katanya, secara kumulatif, jumlah permohonan pinjaman dalam tempoh lima bulan 2024 adalah lebih tinggi pada RM254.5 bilion yang menunjukkan minat belian yang lebih kukuh ke atas hartanah.

 

"Kami berpendapat bahawa minat belian yang lebih kukuh disokong oleh kediaman tidak terjual yang lebih rendah di negara ini, prospek harga rumah yang stabil dan prospek ekonomi yang bertambah baik untuk Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu kekal positif terhadap sektor hartanah kerana data permohonan pinjaman yang positif menandakan minat belian yang lebih kukuh yang seharusnya menyokong prospek pendapatan pemaju.

 

Katanya, piihan utama untuk sektor itu ialah Mah Sing Group (beli, TP: RM1.97) dan Matrix Consepts  (beli, TP: RM2.05).

 

"Kami menyukai Mah Sing kerana pendedahannya yang tinggi kepada segmen kediaman mampu milik yang disokong oleh permintaan belian yang kukuh.

 

"Mah Sing terus mengembangkan bank tanahnya dengan penggearan bersih rendah sebanyak 0.06x yang sepatutnya terus mengekalkan pertumbuhan jualan dan pendapatan baharunya. Selain itu, penerokaan ke dalam perniagaan pusat data akan memberikan pendapatan berulang dalam jangka Panjang," katanya.

 

Sementara itu, kami positif terhadap Matrix Concepts berikutan jualan yang berdaya tahan dari perbandaran Bandar Sri Sendayan di Seremban yang disokong oleh permintaan untuk rumah bertanah mampu milik.

 

Selain itu, kupulan itu terus mengembangkan bank tanahnya di Labu yang akan memacu pertumbuhan pendapatan selepas FY27. - DagangNews.com