Kadar purata pengangguran diunjur berada pada paras 3.5% tahun ini, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kadar purata pengangguran diunjur berada pada paras 3.5% tahun ini, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - MIDF Research unjur purata kadar pengangguran berada pada paras 3.5% tahun ini.

 

Katanya, pasaran tenaga kerja di Malaysia dijangka terus mengukuh pada 2023 dan 2024, disokong oleh momentum yang menggalakkan daripada ekonomi domestik.

 

Firma penyelidikan itu juga meramalkan sedikit peningkatan dalam pemulihan eksport pada suku keempat tahun ini dan seterusnya. 

 

"Kadar purata pengangguran Malaysia dijangka menurun kepada 3.5% pada 2023 dan kembali ke paras 3.3% pada tahun hadapan.

 

"Kehadiran semula pekerja bukan warganegara dijangka melonjakkan pekerjaan secara keseluruhan selain mengurangkan kadar pengangguran.

 

"Sehingga suku ketiga tahun ini, kadar pengambilan pekerjaan bukan warganegara adalah 0.8% lebih rendah berbanding sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Jumlah penganggur terus menurun kepada 573,700 orang pada September 2023 – DOSM

 


Terdahulu, kedudukan tenaga kerja negara pada September 2023 kekal dalam trend pertumbuhan positif dengan peningkatan kecil dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran terus berkurang selari dengan perkembangan ekonomi semasa.

 

Bilangan tenaga kerja terus bertambah pada September 2023, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1% kepada 16.95 juta orang, mencatatkan kadar penyertaan tenaga kerja 70.1%, seperti yang direkodkan bulan lalu.

 

MIDF Research berkata, bagi sembilan bulan tahun ini, kadar guna tenaga meningkat 2.5% (2022: +3.5%) manakala pengangguran berkurangan sebanyak 8.9% (2022: -14.8%) dan kadar pengangguran purata pada 3.5% (2022: 3.8%).

 

Katanya, penambahbaikan berterusan dalam pasaran tenaga kerja akan menyokong perbelanjaan pengguna kerana nisbah penerima gaji kepada pekerjaan telah mencapai kemuncak baharu pada 64.6% pada 2022, antara lain kesan dasar gaji minimum. - DagangNews.com