Kebenaran ambil semula buruh asing, ‘berita baik’ buat MyEG | DagangNews Skip to main content

Kebenaran ambil semula buruh asing, ‘berita baik’ buat MyEG

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Penarikan semula  sekatan pengambilan pekerja asing di Malaysia yang diumumkan semalam merupakan berita baik buat cabang perniagaan merekrut MyEG Services Berhad (MyEG).

Proses merekrut oleh MyEG dijangka mencecah 4,000 orang pada setiap bulan sebelum pengambilan buruh asing terpaksa disekat akibat COVID-19.

CGS-CIMB Research berkata, berita penarikan semula berkenaan membenarkan MyEG meneruskan proses pengambilan semula pekerja asing sedia ada di Malaysia yang dilihat dapat mengurangkan impak terhadap perniagaan tersebut.

“Dalam pada itu, perniagaan memperbaharui permit pekerja asing tidak terjejas akibat sekatan tersebut memandangkan pihak majikan masih dibenarkan memperbaharui dan melanjutkan permit pekerja,” jelas CGS-CIMB menerusi laporan analisisnya. 

Semalam, Kementerian Sumber Manusia mengumumkan bahawa majikan dibenarkan untuk mengambil semula pekerja asing, tetapi terhad kepada mereka yang berada di dalam Malaysia ketika ini. 

Baca : Hanya pekerja asing sedia ada di dalam negara boleh diambil bekerja

Sebelum itu, pihak kerajaan telah menyekat pengambilan buruh asing di negara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa Mac lalu sehingga akhir tahun 2020. 

Pihak majikan juga disarankan untuk memastikan pekerja yang diambil semula telah melalui ujian saringan COVID-19 menerusi pangkalan data dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Buruh atau MyEG.

Sementara itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ bagi saham MyEG dengan sasaran harga (TP), RM1.80.

“Kami melihat terdapat potensi pemberian kontrak niaga hadapan bagi projek Visa Luar Negara dan NIISe yang akan menilai semula harga saham.

"Bagaimanapun, penangguhan dalam konsesi perkhidmatan kerajaan serta kegagalan untuk mendapatkan kontrak NIISe ini akan mengubah semula saranan tersebut,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com