KUALA LUMPUR 20 Mac - Kelington Group Bhd menerusi Ace Gases Sdn Bhd memeterai perjanjian pajakan tanah dengan Perbadangan Kemajuan Ekonomi Negeri Terengganu sebagai mengokong langkah pengembangan kumpulan itu dalam segmen pembuatan karbon dioksida cecair (LCO2).
Menerusi perjanjian tersebut, kumpulan itu memajak sebidang tanah seluas 130,678.86 kaki persegi di Kerteh bagi tempoh 30 tahun dengan pilihan lanjutan selama 30 tahun bermula 1 Februari 2024 hingga 31 Januari 2084.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelington, Raymond Gan berkata, tanah yang terletak berhampiran kilang pembuatan LCO2 kumpulan itu akan membantu menyelaras operasi mereka pada masa hadapan.
"Ia diperuntukkan untuk menyokong usaha pengembangan masa depan kumpulan dalam segmen pembuatan LCO2.
"Ruang tambahan itu akan membolehkan kami meningkatkan kapasiti pembuatan, meningkatkan infrastruktur logistik, dan membina gudang serta bangunan sokongan lain seperti yang diperlukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Industri LCO2 sedang mengalami pertumbuhan ketara, didorong oleh permintaan global terutamanya dalam sektor makanan dan minuman (F&B) bagi minuman berkarbonat dan pembekuan makanan menggunakan ais kering.
Sejak permulaan kilang LCO2 pertama Kelington, hasil pasaran eksport telah meningkat secara konsisten, didorong oleh permintaan kukuh untuk produk itu di peringkat global.
Dengan loji LCO2 pertama yang mencapai penggunaan kapasiti penuh sebanyak 50,000 tan setahun, loji LCO2 kedua kumpulan dengan kapasiti lebih besar sebanyak 70,000 tan setahun, menjadikan kapasiti gabungan kepada 120,000 tan metrik setahun. - DagangNews.com