Gambar hiasan oleh imaad whd
Saudara Pengarang,
PENGUMUMAN mengenai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberikan kepada penerima lengkap dos vaksin COVID-19. Antara kelonggaran yang diberikan kepada negeri yang telah memasuki Fasa 2 dan 3 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan melibatkan “homestay” dan hotel untuk penerima lengkap dua dos vaksin.
Ini adalah satu kelegaan kepada mereka bagi meneruskan perniagaan yang terkesan dan terjejas sejak wabak COVID-19 melanda negara kita pada awal tahun 2020.
Bagaimanapun, kebenaran ini hanya tertakluk kepada penerima dos lengkap yang melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua. Walaupun menghadapi bekalan vaksin yang sangat terhad pada peringkat permulaan, kini negara kita merupakan antara negara yang tertinggi peratusan penerimaan vaksin dikalangan negara di Asia Tenggara.
Usaha yang proaktif daripada pihak kerajaan mahupun swasta untuk membangunkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi menampung dan mempercepatkan kemudahan pemberian vaksin ini menyumbang kepada kenaikan peratusan ini.
Untuk rekod, sehingga 26 Ogos 2021, seramai 33,044,202 rakyat Malaysia atau 60.2 peratus populasi dewasa di negara ini telah pun melengkapkan vaksinasi mereka.
Ini dapat meningkatkan kadar imuniti kelompok dalam kalangan rakyat dan seterusnya akan menyokong pemulihan ekonomi yang sedang rancak berlaku pada negeri yang telah beralih daripada Fasa 1 ke Fasa 2 dan 3.
Kelonggaran yang diberikan untuk aktiviti pelancongan dalam negeri ini dijangka dapat memulih dan meningkatkan pendapatan sektor pelancongan yang sangat kritikal ketika ini.
Apabila operasi perhotelan ini dibuka, ia dijangka dapat memanfaatkan ribuan pekerja-pekerja hotel dalam negara ini yang mana pendapatan mereka terjejas apabila dicutikan tanpa gaji mahupun dipotong separuh gaji ketika ianya ditutup.
Pengusaha-pengusaha “homestay” pula dapat menarik nafas lega dengan kelonggaran ini yang mana hasil pendapatannya dapat digunakan untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan serta membolehkan mereka membayar ansuran pinjaman dengan pihak bank apabila tempoh moratorium mereka selesai.
Kelonggaran aktiviti pelancongan dalam negeri ini dapat meredakan sedikit tekanan perasaan yang mungkin dihadapi oleh mereka yang terkesan dengan sekatan perjalanan dan bebanan tugasan kerja daripada rumah yang seterusnya dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga walaupun hanya bercuti di dalam negeri sahaja.
Ini dapat mengurangkan kadar stress dan murung dalam kalangan rakyat yang banyak menyumbang kepada pertambahan angka kes bunuh diri pada akhir-akhir ini. Dalam tempoh Januari hingga Mei 2021, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 468 kes bunuh diri berbanding 631 kes sepanjang tahun 2020. Salah satu daripada tiga punca utamanya adalah tekanan perasaan.
Tuntasnya, semua kelonggaran ini tidak akan memberikan manfaat jika semua pihak tidak menekankan tentang kepentingan SOP yang perlu mereka patuhi. SOP yang jelas dan ketat masih perlu dilaksanakan oleh pihak perhotelan dan pengusaha “homestay” untuk membendung penularan wabak COVID-19.
Selain mewajibkan pemakaian pelitup muka serta penjarakan sosial yang sedia ada, mereka juga perlu menyemak status vaksinasi pelanggan mereka terlebih dahulu dan hanya yang sudah melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua sahaja akan dibenarkan menginap di samping perlu kerap sanitasi kawasan yang dikunjungi dan kemudahan yang digunakan oleh pelanggan terbabit.
Justeru itu, aktiviti kelonggaran pelancongan dalam negeri ini dapat memberikan impak yang positif daripada segi ekonomi dan sosial yang boleh dinikmati oleh rakyat khususnya dan negara amnya.
Dr Mohd Hafiz bin Bakar
Jabatan Ekonomi dan Kewangan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka