Kementerian Pengajian Tinggi dimohon perhalusi kaedah peperiksaan semasa pandemik COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Kementerian Pengajian Tinggi dimohon perhalusi kaedah peperiksaan semasa pandemik COVID-19

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dimohon meneliti dan memperhalusi kaedah pemeriksaan dengan perangkaan satu sistem standard untuk menjadi panduan kepada universiti bagi membendung penularan wabak COVID-19 terutama semasa musim peperiksaan.

 

Ahli Parlimen Belia Malaysia (Johor), Kiran Raj Sathivel berkata, tiada kompromi dalam soal kesihatan mahasiswa dan pihak KPT perlu mengambil perhatian terhadap kesihatan mahasiswa dalam situasi pandemik tidak menentu ini.

 

Jelasnya, mahasiswa perlu diberi peluang untuk menduduki peperiksaan secara dalam talian seperti mana dilakukan sebelum ini.

 

"COVID-19 adalah soal hidup atau mati. Sebagai wakil anak muda dan mahasiswa, saya berpendapat keadaan ini sudah tentu akan menyukarkan para mahasiswa yang bakal menduduki peperiksaan secara bersemuka di universiti masing-masing. 

 

"Ini kerana ramai pelajar khuatir akan kesihatan mereka jika mereka hadir bagi peperiksaan secara bersemuka di universiti. Peperiksaan secara bersemuka juga mampu meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan mahasiswa terutama bagi mereka tinggal di kampus," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kiran berkata, ramai pelajar merungut apabila mereka tidak diberikan statistik terkini COVID-19 di kampus universiti. 

 

"Oleh itu, status terkini COVID-19 di kampus mengikut kolej kediaman perlu dihebahkan kepada para pelajar sebagai peringatan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak universiti," katanya.

 

Beliau berkata, kes COVID-19 di Malaysia semakin hari semakin meningkat dan semalam negara telah mencatat sebanyak 11,034 kes baharu.

 

 

belia
Kiran Raj Sathivel

 

 

Katanya, peningkatan kes secara drastik menjadikan jumlah kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 2,925,254 sejak mula wabak itu. 

 

Tambah beliau, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga mengumumkan negara kini berada dalam gelombang Omicron dan menjangkakan jumlah kes harian akan terus melonjak serta mencecah 15,000 kes harian tidak lama lagi. - DagangNews.com