Kementerian Pertahanan beri jaminan pelan penstrukturan semula LTAT diteruskan | DagangNews Skip to main content

Kementerian Pertahanan beri jaminan pelan penstrukturan semula LTAT diteruskan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) semasa majlis pengumuman dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di ibu negara pada 4 April 2024.

KUALA LLUMPUR 4 April - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi jaminan bahawa Kementerian Pertahanan komited melaksanakan penstrukturan semula Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di bawah Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25).

 

Beliau berkata, pelan strategik dua tahun itu merangkumi rancangan penyusunan semula model perniagaan serta pegangan saham LTAT dalam syarikat strategik.

 

"Saya ingin mengulangi komitmen Kementerian Pertahanan dalam memacu LTAT menjadi sebuah organisasi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan menjamin perlindungan sosial Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

"LTAT komited untuk mengamalkan pengurusan aliran tunai yang teliti bagi memenuhi keperluan membayar balik simpanan persaraan kepada pencarum mereka.

 

"Kami hanya mempunyai satu matlamat iaitu mengoptimumkan prestasi LTAT dengan model perniagaan terbaik tanpa melepaskan minat strategik dalam pelabgai entiti yang memiliki potensi besar," katanya ketika berucap semasa majlis pengumuman dividen LTAT, hari ini.

 

MAMPAN25 ialah pelan hala tuju strategik iaitu kesinambungan Pelan Transformasi 2019-2023, dengan LTAT berusaha ke arah merealisasikan visi baharunya untuk menjadi "kumpulan wang simpanan mampan".

 

Ia akan direalisasikan melalui pelbagai inisiatif termasuk penggunaan penuh piawaian pelaburan mampan, menambah bilangan aset cair dan meningkatkan indeks perkhidmatan pelanggan.

 

"Paling penting, pelan komprehensif ini juga menyatakan komitmen LTAT bagi menyediakan dividen yang mampan setiap tahun," kata Mohamed Khaled.

 

Semasa rombakan Kabinet pada 12 Disember 2023, Mohamed Khaled yang sebelum ini merupakan Menteri Pengajian Tinggi dilantik untuk menerajui Kementeria Pertahanan mengambil alih tugasan daripada Datuk Seri Mohamad Hasan.

 

Hanya tiga hari selepas Mohamed Khaled dilantik mengetuai kementerian itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTAT ketika itu Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta. 

 

Kemudian, Pengerusinya Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diumumkan bersara daripada lembaga pengarah berkuat kuasa serta-merta, hanya seminggu selepas Ahmad Nazim melepaskan jawatannya.

 

Jawatan CEO itu kemudiannya digantikan oleh Mohammad Ashraf Md Radzi yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Pegawai Kewangan LTAT sejak Mac 202 manakala bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin dilantik sebagi pengerusi.- DagangNews.com