Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi ke luar negara cari peluang eksport sawit | DagangNews Skip to main content

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi ke luar negara cari peluang eksport sawit

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Bukan hanya menumpukan pasaran eksport sawit sedia ada, malah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) turut meneroka pasaran baharu termasuk Timur Tengah, Eropah Timur, Afrika dan pedalaman China. 

KPPK berkata, selain mempromosikan minyak sawit negara, lawatan ke negara-negara berkenaan juga telah memantapkan hubungan dua hala melalui kerangka kerjasama sedia ada.

Langkah itu diambil bagi memudahkan penerimaan minyak sawit Malaysia dengan mendapatkan terma terbaik bagi mengeksport komoditi tersebut. 

Sebagai contoh, ketika lawatan ke Ethiopia, satu daripada syarikat milik Malaysia ditawarkan tender untuk mengeksport sebanyak 27 juta tan metrik sawit ke Ethiopia.

“Kementerian juga menyebarluaskan usaha dan inisiatif yang sedang diambil oleh Malaysia mengenai pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan usaha-usaha pemuliharaan hutan serta biodiversiti yang dijalankan.

“Kita juga telah melobi negara-negara pengimport minyak sawit mengenai aspek positif penggunaan minyak sawit dalam aplikasi pemakanan dan bukan pemakanan,” jelas KPPK menerusi jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) mengenai impak utama hasil promosi sawit oleh KPPK ke negara-negara yang pernah dilawati.

Dalam pada itu, lawatan-lawatan tersebut turut memberi peluang kepada KPPK untuk meredakan sedikit kempen anti minyak sawit.

Tambahnya, sesi libat urus, penerangan dan pembentangan hala tuju negara yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan telah dapat mengembalikan imej minyak sawit negara pada pandangan dunia.

Hasil usaha yang terancang itu telah menunjukkan impak peningkatan eksport pada 2019 sebanyak 10.8% kepada 27.98 juta tan berbanding 25.23 juta tan pada 2018.

“Selain itu, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke negara-negara Kesatuan Eropah telah meningkat 2.3% daripada 3.80 juta tan,” tambah KPPK. - DagangNews.com