Kenaikan tarif AS ke atas produk China khabar gembira bagi pengeluar Malaysia - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kenaikan tarif AS ke atas produk China khabar gembira bagi pengeluar Malaysia - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Sept - Kadar tarif baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas produk sarung tangan perubatan China akan memberi kesan signifikan kepada pengeluar Malaysia kerana harga jualan purata (ASP) China mungkin melebihi ASP pengeluar tempatan seawal tahun depan.

 

Sehubungan itu, RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'Overweight' bagi sektor sarung tangan getah tempatan memandangkan 'hukuman' AS dalam konteks perang dagang dengan China akan menyaksikan tarif produk berkenaan disemak kepada 50% tahun depan dan 100% pada 2026.

 

"Siuasi ini ibarat kesedihan kepada seseorang, kegembiraan bagi individu lain. Pilihan utama ialah Riverstone, Hartalega Holdings Berhad dan Kossan Rubber Industries Berhad," katanya dalam nota penyelididikan hari ini.

 

Jumaat lalu, Pejabat Perwakilan Dagangan Amerika Syarikat (USTR) mengumumkan pindaan akhir mengenai semakan statutori tindakan tarif terhadap China. 

 

Ini melibatkan kadar tarif baru untuk sarung tangan perubatan/bedah, yang akan disemak kepada 50% dan 100% (berkuat kuasa 2025 dan 2026) daripada 25% berkuat kuasa 2026 seperti yang dicadangkan pada bulan Mei.

 

RHB Investment berkata, tindakan AS ini secara asasnya boleh meningkatkan harga jualan purata pengeluar China kepada AS$25.50/1,000 keping menjelang 2025 dan AS$34 menjelang 2026 berdasarkan ASP semasa AS$17. 

 

Kata firma penyelidikan itu, akibatnya, ini boleh memberikan kelebihan harga kepada pengeluar Malaysia memandangkan ASP campuran mereka yang berada dalam julat AS$20-AS$21 yang mungkin berpeluang mendapat manfaat daripada pengalihan perdagangan seawal 4Q24. 

 

"Ingat: Pada September 2019, apabila AS mengenakan tarif 7.5% ke atas produk yang dibuat di China, volum import sarung tangan AS dari China jatuh kepada hanya 7% pada Januari 2020 dari volum pra-tarif sebanyak 14-16%," ujarnya.

 

Secara keseluruhan, RHB Investment tidak membuat sebarang perubahan pada anggaran sektor ini memandangkan ketegangan geopolitik AS-China masih tidak menentu. 

 

"Kami berpendapat langkah punitif yang dipercepat oleh AS terhadap pengeluar China boleh memberikan kesan positif kepada pemain tempatan seawal suku keempat 2024 (4Q24). 

 

"Dengan syarat yang sama, kami terus mengekalkan pandangan terhadap sektor sarung tangan Malaysia, disokong oleh dinamik permintaan-penawaran yang lebih seimbang pada 2H24, pemulihan mekanisme kos dan peningkatan dalam volum tempahan. 

 

"Risiko utama: Penurunan harga jualan purata sarung tangan, pemulihan permintaan yang lebih perlahan daripada yang dijangka, kadar penggunaan yang lebih rendah daripada yang dijangka, harga bahan mentah yang lebih tinggi daripada yang dijangka, dan kelemahan dolar AS terhadap ringgit," jelasnya. - DagangNews.com