Kenanga Investment lancar aplikasi pengurusan kekayaan baharu, KDi Go | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investment lancar aplikasi pengurusan kekayaan baharu, KDi Go

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Kenanga Investment Bank Bhd menerusi Kenanga Digital Sdn Bhd melancarkan aplikasi mudah alih pengurusan kekayaan terbaharunya, KDi GO bagi menyampaikan rumusan pengurusan kewangan dan kekayaan yang komprehensif.

 

KDi GO merupakan platform e-perkhidmatan yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). 

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, aplikasi itu menyepadukan spektrum tawaran yang luas ke dalam ekosistem yang lancar, menjadikannya lebih mudah untuk pengguna mengurus kewangan mereka dan kini ia untuk akses awal kepada orang ramai.

 

Katanya, pengguna KDi GO disediakan dengan pelbagai perkhidmatan kewangan, termasuk alat penasihat robot yang dipacu kecerdasan buatan, pembayaran runcit dan kiriman wang.

 

Aplikasi itu dibangunkan dengan kerjasama Ant Digital Technologies.

 

kenanga
Datuk Chay Wai Leong

 

Pengarah Urusan Kumpulan Kenaga Investment, Datuk Chay Wai Leong berkata, walaupun banyak platform digital menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan runcit termasuk produk pengurusan kekayaan namun mereka sering hilang tumpuan. 

 

"Kami percaya pengurusan kekayaan berhak mendapat pendekatan yang berfokus dan berkualiti tinggi, yang sebenarnya menajdi matlamat utama KDi GO.

 

“Kami juga akan mengembangkan spektrum rumusan kewangan dan kekayaan yang tersedia, akhirnya membina aplikasi super yang memperkasakan pelabur untuk mengurus dan mengembangkan kekayaan mereka dengan mudah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kenaga Digital, Ian Lloyd berkata, KDi GO merupakan platform masa hadapan yang menjadikan kekayaan dan pengurusan kewangan lebih mudah dan ia hanyalah permulaan.

 

“Rancangan kami termasuk produk dan ciri baharu yang menarik, bertujuan meningkatkan kesejahteraan kewangan berjuta-juta rakyat Malaysia, sambil mengukuhkan legasi Kenanga sebagai peneraju dalam perkhidmatan kewangan," katanya.

 

KDi Go kini boleh dimuat turun di Apple App Store dan Google Play Store.- DagangNews.com