Kenanga naikkan harga sasaran saham SLP Resources | DagangNews Skip to main content

Kenanga naikkan harga sasaran saham SLP Resources

Gambar sinliplas.com.my

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 April - Firma penyelidikan, Kenanga Research meningkatkan harga sasaran (TP) syarikat pembuatan bungkusan plastik, SLP Resources Berhad daripada RM0.95 kepada RM1.22.

 

Ini susulan firma itu lebih optimis terhadap prospek SLP selepas mengadakan lawatan di kawasan kumpulan baru-baru ini, menurut penganalisis di Kenanga, Lim Khai Xhiang.

 

Jelas Khai Xhiang, kumpulan itu juga mempunyai beberapa produk bermargin tinggi dalam rancangannya, di mana dapat menyumbang kepada lonjakan perolehan di samping mengekalkan margin semasa.

 

Kenanga meningkatkan penarafan ke atas saham SLP daripada ‘market perform’ kepada ‘outperform’.

 

“SLP mempunyai beberapa produk baharu dalam perancangannya, salah satu daripadanya adalah pembungkusan peranti perubatan, yang telah mula dikeluarkan sejak Februari 2021. 

 

“Pihak pengurusan menggambarkan produk yang berada di atas purata margin kumpulan (antara 17% hingga 22%) itu merupakan dari pelanggan lama dan kami percaya ia akan menjadi sumber baharu kepada perolehan SLP. 

 

“Dalam pada itu, pihak pengurusan juga memberitahu bahawa mereka dalam perbincangan dengan pelanggan baharu bagi produk pembungkusan baharu yang akan menghasilkan margin kasar tinggi,” kata Khai Xhiang dalam sebuah nota kajian hari ini.

 

Tambah Khai Xhiang, SLP juga mengatasi kos resin yang melonjak 10% hingga 15%, apabila berjaya menaikkan purata harga jualan (ASP) pada kadar pertumbuhan sama.

 

“Paling penting, pelanggan SLP menerima ASP lebih tinggi memandangkan harga jualan produk plastik rata-ratanya menyaksikan peningkatan,” tambah beliau.

 

Kenanga positif terhadap saham SLP berdasarkan keupayaan kumpulan untuk mengatasi kos lebih tinggi, pertumbuhan produk bermargin tinggi dan sentimen terhadap pengeluar plastik yang bertambah baik.

 

Setakat 11.32 pagi, nilai saham SLP menokok 2 sen kepada RM0.95. - DagangNews.com