KUALA LUMPUR 8 Jun - Kenanga Research mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor utiliti kerana menawarkan pendapatan yang berdaya tahan selain dividen antara 4% hingga 6%.
Firma itu berkata, pada suku pertama tahun ini, sebahagian besar keputusan dalam sektor itu adalah dalam jangkaan firma itu dengan separuh daripada saham di bawah liputan firma itu berjaya mencapai unjuran mereka.
Katanya, YTL Power International Berhad, adalah satu-satunya yang mencatatkan prestasi cemerlang sekali lagi dengan keputusan 9MFY23 kumpulan itu mengatasi unjuran sekali lagi disebabkan prestasi pengeluar tenaga bebas (IPP) Singapura yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Walau bagaimanapun, keputusan Malakoff Corporation Berhad (Outperform; TP: 80 sen) 1QFY23 mengecewakan dengan kerugian yang lebih besar pada kehilangan margin bahan api kerana kos arang batu purata wajarannya datang lebih tinggi daripada harga arang batu yang berkenaan kerana harga arang batu menurun secara mendadak.
"Keputusan Samaiden Group Berhad (Outperform; TP: RM1.15) 9MFY23 juga meleset daripada jangkaan mengenai kos kakitangan dan yuran profesional yang lebih tinggi daripada jangkaan, dan perbelanjaan penyenaraian.
"Sementara itu, keputusan 1QFY23 Tenaga Nasional Berhad (TNB), Petronas Gas Berhad dan Gas Malaysia Berhad sebahagian besarnya dalam jangkaan kami," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, walaupun pendapatan untuk perniagaan terkawal sebahagian besarnya berdaya tahan, kos bahan api yang rendah, kos arang batu atau gas adalah positif jangka pendek untuk TNB, dan Petronas Gas tetapi negatif untuk Gas Malaysia.
Namun begitu, impaknya adalah neutral dalam jangka masa yang lebih panjang disebabkan oleh kesan daripada pelarasan lulus kos bahan api.
"Bagaimanapun, kami terus menyukai sektor ini kerana pertahanan pendapatannya yang disokong oleh pendapatan berdaya tahan daripada aset terkawal," katanya.
Firma itu berkata, YTL Power merupakan pilihan utama untuk sektor itu selepas mengambil kira prospek pendapatan yang lebih baik berikutan pemulihan PowerSeraya, kadar tarif baharu yang disemak semula dari April 2023 memastikan pendapatan Wessex Water berdaya tahan selain potensi besar daripada pusat data baharu selain usaha niaga perbankan digitalnya. - DagangNews.com