KUALA LUMPUR 22 April - Kenanga Research mengurangkan unjuran pendapatan FY24-FY25 HPP Holdings Bhd sebanyak 74% dan 56% kesan permintaan lebih rendah untuk produk pembungkusan berasaskan kertas dan kos input lebih tinggi.
Katanya, untung bersih teras sembilan bulan berakhir 29 Februari 2024 sebanyak RM1.7 juta adalah di bawah jangkaan dan hanya mewakili masing-masing 16% dan 15% ramalan pendapatan setahun penuh serta anggaran konsensus.
Firma penyelidikan itu berkata, sentimen pelabur terhadap saham itu tidak mungkin bertambah baik sekiranya tiada sebarang keuntungan yang konsisten.
"Oleh itu, kami mengurangkan harga sasaran (TP) kepada 32 sen berbanding 64 sen berdasarkan 13x nisbah harga kepada pendapatan (PER) 2025," katanya dalan satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, HPP mencatatkan kerugian buat kali pertama pada 3QFY24 selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE pada Januari 2021.
Kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM62,200 pada 3QFY24 berbanding untung bersih RM1.53 juta pada suku yang sama sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu memiliki pemacu pendapatan seperti harga produk kerta yang tinggi di peringkat global seharusnya membantu menaikkan purata harga jualan (ASP) mereka selain pengenalan produk pembungkusan acua pulpa kertas kitar semula dengan margin tinggi.
Katanya, peningkatan pesanan terutama daripada pelanggan dalam segmen elektrik dan elektronik (E&E) mengenai penambahan stok serta pelancaran produk baharu.
"Kami menyukai kumpulan itu kerana ia menyediakan rumusan reka bentuk, penyelesaian offset atau pencetakan fleksografik berbilang warna dan resolusi tinggi.
"Kumpulan itu memiliki pangkalan pelanggan yang kukuh termasuk Pelanggan D selain produk pembungkusan acuan pulpa kertas kitar semula baharunya mematuhi piawaian alam sekitar Kesatuan Erpah (EU) yang ketat dan tidak tertakluk kepada cukai alam sekitar yang tinggi," katanya.
Firma penyelidikan itu menyemak turun penarafan kumpulan kepada 'market perform' berbanding 'outperform' sebelum ini.- DagangNews.com