Kenanga Research kurangkan unjuran pendapatan FY24 KESM Industries sebanyak 35% kesan kelemahan sektor bukan automotif | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kurangkan unjuran pendapatan FY24 KESM Industries sebanyak 35% kesan kelemahan sektor bukan automotif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Kenanga Research mengurangkan ramalan pendapatan FY24 KESM Industries Bhd sebanyak 35% kesan daripada kelemahan permintaan dalam sektor bukan automotif.

 

Firma penyelidikan itu berkata, untung bersih teras kumpulan bagi 9MFY24 sebanyak RM1.2 juta adalah mengecewakan kerana hanya 43% daripada ramalan setahun penuh dan anggaran konsensus mereka.

 

"Kami tetap bimbang terhadap ketidakstabilan pendapatan suku tahun kumpulan ini dengan permintaan dalam sektor bukan automotif kekal lemah dan kapasiti tambahan dalam segmen ini mungkin membebankan mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu berjaya menyelesaikan proses kelayakan untuk kebanyakan peralatan baharunya membolehkannya untuk memulakan pengeluaran besar-besaran.

 

Katanya, peningkatan peralatan membolehkan kumpulan itu mengendalikan cip automotif yang lebih maju, memanfaatkan penggunaan kenderaan elektrik yang semakin meningkat.

 

"Kami menyukai KESM kerana kehadiran positif dalam ruang semikonduktor automotif  dan menjadi anara penyedia perkhidmatan ujian dan 'burn-in' bebas terbesar di Malaysia yang berpotensi mendapat manfaat daripada pengembangan syarikat multinasional (MNC) di sini serta kehadiran fizikalnya di China.

 

"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek kumpulan kerana merek berdepan risiko jumlah pemuatan kurang optimum semasa tempoh peralihan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk jangkaan kelemahan dalam volum pengeluaran di bawah perkhidmatan 'burn-in' dan ujian, penggunaan modul semikonduktor yang lebih perlahan daripada jangkaan dan penurunan mendadak dalam unjuran pelanggan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM7.04 sesaham," katanya.- DagangNews.com