Kerajaan akan usul pindaan had hutang negara, bantu pemulihan ekonomi - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Kerajaan akan usul pindaan had hutang negara, bantu pemulihan ekonomi - Tengku Zafrul

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kerajaan secara dasarnya akan cuba sehabis mungkin melakukan yang terbaik sebelum meluluskan sebarang peruntukan bagi membantu menangani krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.  

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kementerian Kewangan juga akan cuba mencari penyelesaian yang paling optimum bagi krisis ini supaya masa depan negara terus terpelihara serta kedudukan ekonomi dan fiskal kerajaan masih stabil apabila keluar dari kancah pandemik ini kelak.

 

Jelasnya, sehingga akhir Jun tahun ini, paras hutang statutori telahpun mencecah 56.8%, namun ia masih di bawah had statutori 60% KDNK yang dibenarkan. 

 

Beliau memberitahu, dengan ruang fiskal yang terhad, kerajaan tiada pilihan selain mengoptimumkan sumber pembiayaan sedia ada melalui rasionalisasi perbelanjaan.

 

Ini termasuklah peningkatan hasil daripada ekosistem kerajaan termasuk penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) serta bersedia meningkatkan had siling Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19).

 

"Pada masa sama, kerajaan bersedia melonggarkan peraturan had hutang untuk menyokong pelan pemulihan ekonomi berdasarkan kemampuan keberhutangan negara. 

 

"Oleh itu, kerajaan akan mengusulkan di dalam Dewan ini cadangan pindaan tersebut pada penggal akan
datang," katanya ketika memberi penerangan pada Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 hari keempat hari ini.

 

Dari segi kedudukan kewangan, Bajet 2021 telah dibentangkan dengan unjuran defisit fiskal sebanyak 5.4% kepada KDNK. 

 

Setelah mengambil kira gelombang COVID-19 pada awal tahun ini serta pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 sejak awal Jun, kerajaan telah melaksanakan pakej bantuan tambahan iaitu Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Plus dan Pemulih.

 

Menurut Tengku Zafrul, pertambahan ini dijangka meningkatkan defisit fiskal antara 6.5 hingga 7% kepada KDNK tahun ini.

 

"Saya ingin menekankan bahawa peningkatan ini bukanlah asing bagi negara kita. Berdasarkan data dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dalam memerangi wabak COVID-19, kebanyakan kerajaan di seluruh dunia telah memperuntukkan lebih dari AS$16.5 trilion dalam bentuk perbelanjaan fiskal. 

 

"Ini telah menyebabkan purata defisit keseluruhan kepada KDNK untuk tahun ini akan mencecah 9.9% bagi negara maju, 7.1% bagi negara membangun dan 5.2% bagi negara berpendapatan rendah. 

 

"Oleh itu, purata nisbah hutang kepada KDNK dunia juga dijangka meningkat sehingga 98.8% tahun ini," katanya. 

 

Beliau berkata, setelah ekonomi kembali pulih, kerajaan akan melaksanakan langkah konsolidasi dan pengukuhan kedudukan fiskal kerajaan termasuk meluaskan asas hasil, mengukuhkan pentadbiran dan pematuhan cukai serta meningkatkan kecekapan perbelanjaan bagi mengawal paras defisit fiskal kerajaan. 

 


Jelasnya, Pengenalan Strategi Hasil Jangka Sederhana merupakan salah satu langkah bagi memastikan
kutipan hasil mampu membiayai perbelanjaan kerajaan. 

 

Selain itu, katanya, Akta Tanggungjawab Fiskal juga sedang digubal bagi menambah baik tadbir urus dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara. 

 

"Namun, kerajaan memberi komitmen tidak akan memperkenalkan sebarang pembaharuan fiskal selagi ekonomi belum stabil," katanya. 

 

Menurut beliau, sebelum pandemik COVID-19 melanda negara, Malaysia berada di atas landasan pengukuhan fiskal yang konsisten sejak negara beralih keluar dari krisis kewangan global pada 2009.

 

Ia menyaksikan defisit negara dikurangkan daripada 6.7% kepada 3.4% pada 2019, sebelum meningkat semula kepada 6.2% pada 2020, jelas beliau. - DagangNews.com