Mercury Securities saran pelabur langgan IPO Crest Group dengan nilai saksama 55 sen | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities saran pelabur langgan IPO Crest Group dengan nilai saksama 55 sen

Gambar Crest Group
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Sept - Mercury Securities menyarankan pelabur untuk melanggan Crest Group Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 35 sen dengan nilai saksama (FV) 55 sen.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat pengimejan itu dinilai dengan pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak 20 kali yang memberikan FV Crest Group peningkatan 56% daripada harga IPO.

 

"Sasaran harga kepada pendapatan (PE) kami berdasarkan diskaun 20% kepada penilaian purata rakan seangkatannya, untuk mengambil kira permodalan pasaran yang lebih kecil. 

 

"Kami menyukai saham ini kerana kehadiran geografi yang pelbagai, pendedahan kepada pemulihan dalam industri semikonduktor dan kunci kira-kira yang kukuh," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Mercury Securities menjangkakan Crest Group akan mencapai pertumbuhan pendapatan yang sihat sebanyak 8% hingga 13% dalam FY24, FY25 dan FY26 yang disokong oleh beberapa faktor utama. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, faktor pertama adalah pemulihan dalam industri semikonduktor global yang dijangkakan bakal bangkit semula dan berkembang sebanyak 16% dan 13% pada 2024-2025.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Crest Group sasar kumpul RM45.75 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

crest
Sebanyak 31.73% daripada hasil IPO akan digunakan untuk pengembangan pasaran di Vietnam dan China. -Gambar Crest Group

 

"Selain itu, kami melihat strategi China+1 akan terus mendorong pelaburan baharu ke Asia Tenggara, terutamanya untuk pasaran utama Crest Group di Malaysia dan Thailand, serta pengembangan baharu ke Vietnam. 

 

"Akhir sekali, kami menjangkakan jualan Crest di pasaran China akan tetap kukuh kerana industri semikonduktor China terus melakukan pelaburan besar untuk mencapai kecukupan sendiri," jelasnya.

 

Mercury Securities dalam pada itu berkata, tidak seperti rakan setaranya yang lain, Crest Group merupakan penerima manfaat bersih daripada pengukuhan nilai ringgit. 

 

"Ini kerana hanya 60-70% jualannya dinyatakan dalam mata wang asing, berbanding dengan lebih 90% kosnya (terutamanya kos pembelian peralatan).

 

"Sebaliknya, rakan setaranya terutamanya menjual peralatan yang mereka hasilkan dalam dolar AS, manakala kos tertentu yang ditanggung (terutamanya tenaga kerja) adalah dalam mata wang tempatan," ujarnya.

 

Ditubuhkan pada 1999, Crest pada mulanya menumpukan pada membekalkan peralatan pemeriksaan dan kawalan kualiti kepada industri semikonduktor dan elektronik dan elektrik (E&E).

 

Selama bertahun-tahun, syarikat telah mengembangkan tawarannya untuk memasukkan rumusan pengimejan, analisis dan ujian yang komprehensif dan dengan jangkauan industri yang lebih luas merangkumi bidang sains hayat, penjagaan kesihatan, penyelidikan, akademik, automotif, penerbangan dan minyak dan gas.

 

Perkhidmatannya terdiri daripada khidmat rundingan prajualan, penyesuaian, pemasangan, pentauliahan dan latihan pengguna kepada sokongan selepas jualan yang komprehensif.

 

Bahagian terbitan awam IPO kini dibuka untuk langganan, dengan permohonan ditutup pada 25 September 2024 pada pukul 5 petang.- DagangNews.com