Kerajaan kaji mekanisme ESN pastikan saham dipegang syarikat bermandat Bumiputera kekal - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan kaji mekanisme ESN pastikan saham dipegang syarikat bermandat Bumiputera kekal - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Dis - Kerajaan sedang mengkaji mekanisme Jaringan Keselamatan Ekuiti (ESN) bertujuan memastikan saham dipegang agensi bermandat Bumiputera, kekal di dalam kelompok syarikat Bumiputera.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mekanisme itu akan diteliti supaya dapat mencapai ekuiti dan nilai Bumiputera tanpa memberi kesan terlalu besar kepada daya saing agensi berkaitan dalam urusan pelaburan mereka.

 

Beliau berkata, walaupun Bumiputera merupakan kaum majoriti di negara ini, iaitu seramai 20.9 juta atau 69.7%, status sosioekonomi mereka masih pada tahap yang memerlukan peningkatan, khususnya kesenjangan kekayaan, jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah.

 

Katanya, sehingga hari ini, matlamat untuk mencapai 30% penguasaan ekuiti Bumiputera tidak pernah tercapai walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan sebelum ini untuk menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi pelbagai kaum di negara ini. 

 

"Kerajaan komited meningkatkan pembabitan perniagaan Bumiputera dalam projek nasional berskala besar serta mengkaji dasar perolehan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). 

 

"Sehubungan dengan ini, kerajaan sedang mengkaji mekanisme Jaringan Keselamatan Ekuiti bertujuan memastikan saham dipegang agensi bermandat Bumiputera kekal di dalam kelompok syarikat Bumiputera," katanya pada pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, TPB2030 akan menggunakan pendekatan baharu selain berperanan memastikan kesinambungan kepada dasar dan inisiatif pemerkasaan Bumiputera terdahulu, dengan penyesuaian semasa.

 

Beliau berkata, TPB2030 menggariskan strategi jelas menerusi program pembangunan dan inisiatif yang diselaraskan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta didukung oleh RMKe-12 yang terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia.

 

"Secara amnya, TPB2030 telah mengenalpasti enam Sasaran Utama untuk dicapai melalui tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan serta Pelancongan.

 

"Bumiputera perlu dibantu dengan cara baharu dan lebih berstruktur. Inklusif dari Perlis ke Sarawak hingga ke Sabah, termasuk golongan Bumiputera minoriti. 

 

Perdana Menteri berkata, semua pihak mesti mengambil iktibar daripada segala program Bumiputera yang sudah diusahakan selama ini tetapi masih gagal mencapai sasaran asal.

 

"Maka, dalam merencanakan TPB2030, pendekatan sesuai dengan abad ke-21 mesti diutamakan supaya kita tidak sekali lagi hanya gah dalam ucapan dan pelan atas kertas, tetapi tidak dapat merealisasikan keberhasilan yang mampu benar-benar mengubah nasib Bumiputera di negara ini.

 

"Kejayaan Bumiputera bukan hanya agenda Bumiputera semata-mata, tetapi akan membawa pulangan kepada negara secara keseluruhannya," katanya. - Dagangnews.com