Kerajaan manfaat FTA untuk percepat proses pengantarabangsaan PMKS - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan manfaat FTA untuk percepat proses pengantarabangsaan PMKS - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Kerajaan akan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam memperluas akses pasaran dan mempercepatkan proses pengantarabangsaan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PKMS).  

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu merangkumi Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 yang akan membawa dan memperluaskan sektor berkenaan di persada antarabangsa.

 

"Tumpuan diberi untuk PMKS beralih daripada pasaran domestik kepada pasaran global untuk meningkatkan daya saing sekali gus membantu PMKS untuk mencapai sasaran iaitu menyumbang sebanyak 45% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25% daripada jumlah eksport pada tahun 2025.

 

"Pelbagai inisiatif akan diteruskan menerusi platform antarabangsa seperti ini dan forum seumpamanya bagi terus menambah baik persekitaran perniagaan serta mengurangkan halangan perdagangan seterusnya memartabatkan industri PMKS di persada antarabangsa," katanya ketika berucap merasmikan Pameran Tahunan PKS-SMIDEX 2021, di sini hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan terus mempergiatkan usaha bagi menambah baik akses dan peluang pasaran bagi membantu PMKS meningkatkan jualan di pasaran antarabangsa.

 

Katanya, inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama G2G  serta kerjasama dalam kalangan negara ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) serta pertubuhan antarabangsa yang lain.

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, aspek digitalisasi serta kelestarian perlu menjadi fokus utama sebagai pemangkin kepada pemulihan PMKS yang terjejas.

 

Beliau berkata, pemangkin pertama yang harus difokuskan PMKS ialah memanfaatkan inovasi, digitalisasi serta penggunaan teknologi untuk mendorong agenda pemulihan.

 

Katanya, bagi pemangkin kedua, pembangunan jangka panjang PMKS harus menerapkan prinsip kelestarian yang meliputi persekitaran, sosial dan tadbir urus ke dalam strategi perniagaan mereka.

 

"Industri PMKS secara dalam talian telah meningkat sebanyak dua kali ganda daripada 35.3% yang dicatatkan pada 2019 (pra-COVID) kepada 75.8% pada tahun 2021 (pasca COVID).

 

"Tumpuan harus diberikan kepada pengurangan kos dan peningkatan produktiviti menerusi kecekapan tenaga, prinsip ekonomi kitaran (circular economy), amalan penggajian tenaga kerja yang baik serta struktur tadbir urus syarikat yang kukuh bagi memenuhi matlamat kelestarian," katanya. - Dagangnews.com