Kerajaan perlu lebih cakna terhadap penderitaan rakyat | DagangNews Skip to main content

Kerajaan perlu lebih cakna terhadap penderitaan rakyat

Kos sara hidup yang tinggi ditambah dengan peningkatan harga barangan yang mendadak menyulitkan hidup rakyat. - Gambar Firdaus Roslan
Oleh Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin

ISU peningkatan kos sara hidup merupakan antara isu yang semakin meruncing di negara ini dalam tempoh yang agak lama.

 

Isu ini sewajarnya diberi perhatian penuh oleh kepimpinan terkini tampuk kerajaan yang dikenali sebagai Kerajaan Madani untuk segera mencari jalan keluar agar rakyat tidak terus dihimpit dengan bebanan ekonomi yang kian mencabar hari demi hari.

 

Isu ekonomi ini acap kali kelihatan membelenggu golongan berpendapatan rendah seperti B40, terutamanya kepada mereka yang tinggal di bandar-bandar besar yang lazim mengetahui kawasan tersebut mempunyai kepadatan penduduk dan kos sara hidup yang tinggi.

 

Kos sara hidup yang tinggi ditambah dengan peningkatan harga barangan yang mendadak menyebabkan rakyat sukar untuk merancang perbelanjaan kewangan mereka dengan lebih baik.

 

Apa yang lebih menggusarkan, kos sara hidup semakin meningkat namun gaji yang ditetapkan kerajaan tidak banyak berubah.

 

Masalah ini memberikan kesan yang cukup besar kepada kehidupan rakyat kerana kadar gaji yang rendah berkemungkinan menyebabkan mereka tidak mampu menampung keperluan seharian.

 

Kos sara hidup boleh dikatakan akan meningkat RM200 hingga RM500 setahun, sedangkan kenaikan gaji tahunan hanya dalam lingkungan RM50 hingga RM150.

 

Berdasarkan laporan panduan gaji yang direkodkan pada tahun 2023 oleh Jobstreet Malaysia, 97.3 peratus pekerjaan yang ditawarkan mempunyai tahap gaji sama pada tahun sebelumnya dan kebanyakan bandar mengalami penurunan gaji ketara merentasi jawatan.

 

Pengarah Urusan Jobstreet Malaysia sendiri, Vic Sithasanan berkata, biarpun kadar gaji median yang ditawarkan konsisten dari tahun ke tahun namun ia masih tidak relevan rentetan peningkatan kos sara hidup yang kelihatan melebihi kadar gaji yang ditawarkan oleh majikan.

 

Lantaran itu, peningkatan kos sara hidup ini sering menjadi kebimbangan dalam kalangan rakyat bila mana didapati kebanyakan kerja yang ditawarkan tidak memenuhi kriteria gaji diinginkan pemohon berdasarkan kepakaran yang mereka miliki.

 

Jobstreet Malaysia juga melaporkan berlakunya peningkatan sebanyak 10 peratus permohonan kerja dilakukan dalam aplikasi Jobstreet sekali gus menunjukkan ramai rakyat Malaysia sedang mencari pekerjaan dan mencari peluang baharu untuk meneruskan kehidupan lebih baik dengan kadar gaji yang dianggap setimpal pada mereka.

 

Bukan sekadar itu sahaja, ketika ini kejatuhan nilai ringgit juga telah menjadi satu topik hangat perdebatan di mana rata-rata rakyat Malaysia sudah mula rasa bimbang apabila nilai ringgit jatuh ke paras RM4.76 berbanding dollar Amerika Syarikat sebelum ini dan menghampiri paras terendah ketika berlakunya ketika krisis kewangan Asia pada tahun 1998.

 

Secara kebetulan, Menteri Kewangan ketika ringgit dilaporkan berada di tahap terburuk iaitu RM4.88 pada tahun 1998 dan semasa ringgit menjunam RM4.76 sekarang adalah orang yang sama.

 

Jadi, perkara ini seharusnya lebih diteliti kerana kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.

 

Apabila nilai ringgit jatuh, kesannya kepada rakyat bukan sahaja melibatkan hal ekonomi, malah yang lebih parah lagi apabila ia menular kepada isu sosial.

 

Rakyat akan semakin tertekan apabila harga barangan terus naik dan mereka terpaksa berdepan dengan risiko kehilangan pekerjaan apabila banyak syarikat gulung tikar.

 

Ringgit Malaysia yang semakin melemah juga menyebabkan banyak kesan buruk terutama apabila barangan import menjadi lebih mahal kerana Malaysia juga mengimport banyak produk daripada negara luar untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

 

Menurut Profesor Emirtus Dr Barjoyai, kejatuhan nilai ringgit akan memberikan kesan ketara kepada harga makanan kerana nilai import makanan sangat tinggi kerana ia mampu mencecah sehingga RM70 juta.

 

Ekoran daripada masalah-masalah ekonomi ini, rakyat amat berharap agar kerajaan dapat mencari jalan keluar dan inisiatif berkesan untuk menangani masalah kenaikan kos sara hidup khususnya seperti mana yang telah dijanjikan dalam manifesto mereka sebelum bergelar pihak kerajaan.

 

Rakyat tidak mahu pemimpin negara hanya menjanjikan bulan dan bintang di awal, namun apabila mereka sudah dapat apa yang dihajati, mereka melupakan nasib rakyat.

 

Langkah yang perlu diambil oleh kerajaan perlu melibatkan kerangka dan matlamat yang jelas dalam apa jua kaedah dan bentuk bantuan sekalipun sama ada secara terus atau tidak terus.

 

Oleh itu, penekanan tentang isu kos sara hidup yang semakin meningkat ini perlu diberi perhatian yang lebih memandangkan ramai yang semakin susah meneruskan kehidupan harian mereka lantaran keadaan inflasi yang semakin meningkat sehingga kadang kala mereka perlu berkira-kira dan berfikir dua tiga kali untuk membeli keperluan harian.

 

Apa yang diharapkan ketika ini, kerajaan perlu segera merealisasikan langkah efisien terhadap masalah kenaikan kos sara hidup agar golongan rakyat yang terkesan akibat perubahan ekonomi mendapat manfaat menyeluruh sekali gus membantu membina kehidupan ke arah yang lebih baik.

 

Rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos ini terutamanya kepada mereka yang tinggal di bandar sangat berharap wujudnya inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah walaupun secara beransur-ansur.

 

Hal ini kerana, penderitaan yang terpaksa ditanggung akibat daripada kenaikan kos sara hidup telah banyak mengubah corak kehidupan rakyat sehingga ada dalam kalangan mereka yang terpaksa melakukan pelbagai kerja dalam satu masa demi kelangsungan hidup.

 

Apa yang lebih menyedihkan, ada segelintir rakyat yang perlu bertahan untuk sementara waktu sehingga kerajaan melaksanakan langkah dan inisiatif untuk membantu rakyat ekoran masalah kesihatan yang kronik dan sebagainya.

 

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu didedahkan dengan cara pengurusan kewangan yang betul kerana tahap celik kewangan dalam kalangan masyarakat di Malaysia diakui masih rendah hingga menyebabkan mereka tidak mempunyai wang simpanan apabila waktu kecemasan.

 

Mereka perlu mengubah corak perbelanjaan dalam kehidupan harian untuk meminimumkan beban yang terpaksa dipikul kesan peningkatan kos sara hidup.

 

Akhir kata, kerajaan perlu lebih progresif dan tidak bersikap sambil lewa atau seolah-olah hanya menanam tebu di bibir dalam menangani permasalahan yang sedang dihadapi, kerana jika tidak, jangankan setahun, 10 tahun pun belum tentu negara dapat bertemu noktah dalam isu ekonomi seperti ini. - DagangNews.com

 

Muhammad Syafi Fauzan Bin Saifuddin adalah mahasiswa Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka