Kerajaan pertimbang proses pinjaman lebih mudah untuk pekebun kecil kelapa sawit dalam Bajet 2025, kata Johari Ghani | DagangNews Skip to main content

Kerajaan pertimbang proses pinjaman lebih mudah untuk pekebun kecil kelapa sawit dalam Bajet 2025, kata Johari Ghani

KUALA LUMPUR 25 Julai - Kementerian Perladangan dan Komoditi akan mempertimbangkan untuk memudahkan proses pinjaman daripada bank kepada pekebun kecil kelapa sawit dalam Bajet 2025 akan datang.

 

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan menerusi Bajet 2024 memperuntukkan RM100 juta melalui skim hibrid dalam bentuk geran 50% dan 50% pinjaman untuk melaksanakan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0).

 

Beliau berkata, kementeriannya menyedari kesukaran yang dihadapi pekebun kecil kelapa sawit apabila memohon pinjaman bank bagi tujuan penanaman semula, berikutan beberapa syarat yang dikenakan oleh bank.

 

“Walaupun ia adalah pinjaman 50% dan geran 50%, kami mendapati agak sukar bagi sesetengah pekebun kecil mendapatkan pembiayaan, kerana mereka tidak dapat memenuhi banyak kriteria.

 

sawit

 

"Kementerian sedang meneliti perkara ini, dan mungkin mencadangkan dalam bajet akan datang bagaimana untuk memudahkan pinjaman 50% (bahagian) bagi memudahkan pekebun kecil dengan pokok berusia lebih 25 tahun," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Lim Pay Hen berhubung insentif penanaman semula kelapa sawit dan tindak balas terhadap inisiatif TSPKS 2.0. - DagangNews.com