Kerjasama PLUS, NTIS bangunkan inovasi baharu dalam mewujudkan lebuh raya pintar | DagangNews Skip to main content

Kerjasama PLUS, NTIS bangunkan inovasi baharu dalam mewujudkan lebuh raya pintar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Dis - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjalinkan kerjasama dengan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai Sekretariat Utama mewakili Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) dalam membangunkan inovasi baharu ke arah mewujudkan lebuh raya pintar.

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, lebuh raya pintar merupakan sebuah medium inovasi kerana membolehkan integrasi teknologi bersama jaringan jalan raya antaranya dengan gabungan pelbagai peranti Internet of Things (IoT) untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan, keselamatan pemandu serta pejalan kaki dan penggunaan tenaga bersih untuk menggalakkan kelestarian.

 

Beliau berkata, data daripada Global Smart Highway Market 2021 menunjukkan bahawa pasaran lebuh raya pintar global dianggarkan bernilai AS$19.89  billion (RM84.05 bilion) pada tahun 2021 dan dijangka berkembang sekitar 18% bagi tempoh 2021 sehingga 2026.

 

“Malaysia harus mengambil peluang ini untuk menerokai teknologi-teknologi baharu khususnya oleh bakat tempatan yang mampu meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuhraya. 

 

"MOSTI yakin kerjasama NTIS dan PLUS ini akan membuka peluang dan akses kepada teknologi-teknologi baharu seperti sensor, sistem kecerdasan termaju dan keselamatan siber untuk membolehkan automasi kerja-kerja penyelenggaraan dengan pengumpulan data yang pantas dan tepat di lebuh raya Malaysia," katanya Program Rintis Sandbox Lebuhraya Pintar, hari ini. 

 

Kerjasama strategik itu wujud untuk memastikan PLUS selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan revolusi industri 4.0 (IR4.0) dengan penggunaan teknologi berketepatan tinggi dan efisien dalam pengurusan penyelenggaraan lebuh raya di Malaysia.

 

PLUS juga sedang merancang untuk meningkatkan pelaburannya bagi mencapai tahap optimum inovasi dalam industri lebuh raya termasuk menggunakan analisis video dan teknologi kecerdasan buatan (AI). 

 

“Usaha untuk memperoleh inovasi baru dalam industri lebuh raya bukan sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan pelbagai perincian yang jarang ditemui atau dikuasai oleh syarikat tempatan. Ini termasuklah kurangnya aktiviti penyelidikan dan pambangunan (R&D)

 

"Namun saya optimis melalui kerjasama bersama NTIS serta dokongan MOSTI kami bakal menyaksikan penerokaan inovasi teknologi yang unik dan sesuai untuk meningkatkan kecekapan pengurusan landskap penyelenggaraan bagi ekosistem lebuh raya terutamanya bagi PLUS,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Technology Park Malaysia (TPM), Dzuleira Abu Bakar berkata, hampir 10% daripada 139 permohonan yang diluluskan di bawah program NTIS adalah syarikat yang bersedia untuk menguji prototaip teknologi dalam sektor bandar pintar dan pengangkutan. 

 

"Bagi kerjasama NTIS dan PLUS, teknologi-teknologi seperti sistem kecerdasan buatan, keselamatan siber dan enkripsi, teknologi sensor dan lain-lain lagi yang dibangunkan syarikat pemula tempatan akan diuji di Lebuhraya PLUS bagi membolehkan automasi dan meningkatkan kecekapan kerja-kerja penyelenggaraan lebuh raya," katanya. - DagangNews.com