Khazanah jual lagi saham dalam firma India, IDFC Ltd. | DagangNews Skip to main content

Khazanah jual lagi saham dalam firma India, IDFC Ltd.

 

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Khazanah Nasional Bhd. dilaporkan menjual lagi sahamnya dalam syarikat IDFC Ltd. yang berpangkalan di India, menurut laman web VCCircle

 

Dana pelaburan itu baru sahaja melepaskan sebahagian kecil saham dalam syarikat perkhidmatan pegangan kewangan itu dan terbaharu, menjual lagi 5.18% kepentingannya. 

 

Dalam laporan itu yang dipetik TheEdge, menunjukkan Khazanah sudah menjual lebih daripada 8.26 juta saham dalam IDFC dengan nilai 38.76 rupee sesaham, dengan nilai bersih 320.37 kror rupee (kira-kira AS$43.66 juta). 

 

Berdasarkan anggaran yang dibuat portal berkenaan, setakat ini, Khazanah sudah mengurangkan pegangannya kepada 2.12% berbanding 7.3% sebelum itu. 

 

Ia dibuat selepas menjual menjual hampir AS$19 juta sahamnya pada bulan lalu.  

 

IDFC menempatkan perniagaan pengurusan aset dan kewangan projek serta merupakan pemegang saham besar IDFC First Bank.

 

Pada 2007, Khazanah membeli 8.97% saham dalam IDFC dengan nilai 848.16 kror rupee atau kira-kira AS$210 juta ketika itu. 

 

Namun, selepas 3 tahun, dana itu meningkatkan pegangannya kepada 1,228 kror rupee. Secara keseluruhan, pegangannya dipercayai mencecah hampir AS$300 juta, menurut laporan itu lagi. 

 

VCCircle berkata, IDFC Bank telah dipisahkan dari IDFC Ltd. pada 2015 dan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada Khazanah dan pemegang saham IDFC yang lain memperoleh pegangan dalam sektor bank swasta itu.

 

Kemudiannya pada 2016, Khazanah menjual keseluruhan pegangan dalam IDFC First Bank sekitar 1,050 hingga 1,100 kror rupee (AS$160 juta). 

 

Selain melupuskan pegangan dalam IDFC, tahun lalu Khazanah juga menjual kepentingan dalam firma analitik data, Fractal Analytics Inc. kepada firma ekuiti swasta, Apax Partners. 

 

Khazanah turut menjual sahamnya dalam rangkaian hospital terkemuka di India, Apollo Hospitals kepada IHH Healthcare Bhd. dan kemudian melupuskan saham Apollo pada 2017. 

 

Lapor portal di India itu lagi, sebelum itu, dana pelaburan kerajaan itu juga telah lupus pegangan dalam L&T Finance pada 2015. 

 

Saham IDFC Ltd. semalam meningkat 12.42% kepada 43 rupee sesaham, menghampiri paras tertinggi 52 minggu, 45.7 rupee. 

 

Dana lindung nilai, Abakkus, Morgan Stanley Asia Singapore Pte dan Avendus Absolute Return Fund juga meningkatkan saham masing-masing kepada 38.75 kror rupee, 51.15 kror rupee dan 58 kror rupee, tambah laporan itu. - DagangNews.com