KLK bimbang sekatan buruh asing jejas pengeluaran sawit | DagangNews Skip to main content

KLK bimbang sekatan buruh asing jejas pengeluaran sawit

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) menzahirkan kebimbangan sekiranya sekatan pengambilan buruh asing akan terus menjejaskan hasil tanaman sawit di ladangnya.

 

CGS-CIMB dalam nota kajiannya memberitahu, pada dua bulan pertama tahun kewangan 2021 (2MFY21), KLK mencatatkan pengeluaran mendatar kerana pemulihan jumlah hasil yang lebih perlahan daripada jangkaan di perladangan sawit Sabah. 

 

“KLK menyasarkan 10% peningkatan pengeluaran tandan buah segar (FFB) bagi FY21 berbanding -4% pada FY20, didorong oleh pemulihan daripada asas rendah,” jelas firma penyelidik itu. 

 

CGS-CIMB menerima maklumat itu dalam sebuah perjumpaan dengan pengurusan KLK pada Malaysia Virtual Corporate Day.

 

Dalam perjumpaan itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLK, Tan Sri Lee Oi Hian mendedahkan perkembangan terkini berhubung perancangan dan operasi kumpulan berkenaan. 

 

Susulan perjumpaan itu, CGS-CIMB positif terhadap prospek perolehan segmen perladangan sawit kumpulan syarikat tersebut, seiring peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) ketika ini.

 

Dalam pada itu, KLK mengunjurkan harga MSM akan kekal melebihi RM3,000 setiap tan pada separuh pertama 2021 (1H21).

 

“KLK juga mendedahkan harga MSM di Indonesia kini dalam lingkungan RM2,800 hingga RM2,900 setiap tan atau kurang kira-kira RM1,000 daripada MSM Malaysia kerana cukai eksport yang lebih tinggi.

 

“Kami mendapati cukai eksport Indonesia yang disemak semula itu telah meningkatkan margin (pemain industri) penyulingan di negara itu. Bagaimanapun, ini menyebabkan kos tambahan yang besar bagi pengeluar oleokimia Indonesia.

 

“Ini ditambah dengan kebimbangan mengenai kenaikan kos bahan mentah, menyebabkan KLK meletakkan unjuran yang lebih berhati-hati mengenai prospek pendapatan untuk bahagian oleokimia,” tambah CGS-CIMB.

 

Dalam perkembangan lain, kumpulan syarikat itu kini sedang membina kilang sarung tangan perubatan yang akan melibatkan 15 barisan pengeluaran untuk menghasilkan 4.5 bilion unit sarung tangan setiap tahun. 

 

Ini melibatkan perbelanjaan modal sebanyak RM200 juta, kata CGS-CIMB. 

 

“Kami menjangkakan kilang baharu ini akan menyumbang sehingga RM35 juta atau RM66 juta keuntungan bersih pada FY22 dan FY23. Ini meningkatkan ramalan keuntungan bersih ke atas KLK sebanyak 4% hingga 7% bagi tahun kewangan berkenaan,” jelas CGS-CIMB lanjut.

 

Firma penyelidik itu mengekalkan saranan ‘pegang’ saham KLK dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM24.80.

 

Setakat 11.03 pagi, saham KLK menokok RM0.12 daripada paras yang ditutup semalam, RM23.78 untuk mencecah nilai RM23.90. - DagangNews.com