KLK menerusi Synergy Motion beli 1.78 juta saham IJMP | DagangNews Skip to main content

KLK menerusi Synergy Motion beli 1.78 juta saham IJMP

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) menerusi syarikat yang berkaitan dengannya, Synergy Motion Sdn Bhd telah mengambil alih 1.78 juta saham IJM Plantations Berhad (IJMP).

 

Pengambilalihan saham itu diperoleh menerusi pasaran terbuka semalam, pada kadar RM3.08 sesaham, menurut KLK dalam maklumannya di Bursa Malaysia. 

 

“Mengikut Perenggan 19.04 Peraturan Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Berwajib, KLK menerusi syarikat berkait iaitu Synergy Motion telah berurusan dalam saham biasa IJMP,” jelas KLK.

 

Sebagai rekod, Synergy Motion merupakan anak syarikat penuh Batu Kawan Berhad (BKB), yang merupakan pemegang saham utama dalam KLK.

 

Sekitar bulan lalu, IJM Corporation Berhad (IJM) menerima tawaran KLK untuk melupuskan semua kepentingannya iaitu 56.2% dalam IJMP bagi nilai RM1.5 bilion atau RM3.10 sesaham. 

 

Baca : Tawaran KLK munasabah, IJM setuju jual 56.2% kepentingan 

 

Harga tawaran itu dilihat munasabah dan wajar oleh IJM selepas mengambil kira beberapa faktor.

 

Menerusi pemeteraian perjanjian jual dan beli saham, KLK perlu melanjutkan tawaran umum berwajib (MGO) untuk baki saham IJMP yang tidak dimilikinya.

 

Selepas langkah pelupusan itu selesai, IJM dan anak-anak syarikatnya dijangka mencatatkan keuntungan proforma sekitar RM699.89 juta.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021, IJMP mencatatkan hasil tertinggi iaitu RM835.69 juta dan keuntungan sebanyak RM205.08 juta sejak ditubuhkan pada 1985. 

 

Setakat 11.54 pagi, harga saham KLK menokok 22 sen kepada RM19.84. 

 

Harga saham IJM turut meningkat, sebanyak 2 sen kepada RM1.75. - DagangNews.com