KUALA LUMPUR 31 Dis - MUI Properties Bhd menjual tanahnya di Taman Perindustrian Springhill kepada Gamuda Bhd dengan harga RM424.4 juta.
Tanah perindustrian seluas 157.71 hektar itu akan digunakan oleh Gamuda untuk membangunkan sebuah hab kemudahan digital berteknologi tinggi.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MUI Properties, Andrew Khoo berkata, melalui transaksi tersebut, MUI Properties telah mengambil langkah dalam usaha berterusan kumpulan untuk memperoleh keuntungan daripada bank tanah dan hartanah pelaburannya.
"Hasil jualan ini akan membolehkan kami membeli lebih banyak tanah yang boleh dijadikan aset bagi memastikan pertumbuhan selanjutnya dan kelestarian jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.
Dagangan saham MUI Properties digantung semalam pada pukul 10.40 pagi atas permintaan syarikat, sementara menunggu pengumuman penting yang perlu kepada pasaran.
Dalam sesi awal pagi semalam, saham tersebut naik sebanyak 1.15 peratus kepada 44 sen berbanding penutupan 43.5 sen pada Jumaat lalu sebelum penggantungan.
Nilai pasaran keseluruhan saham MUI Properties pada masa itu adalah sebanyak RM332.4 juta. - DagangNews.com