KUALA LUMPUR 31 Dis - Landskap perdagangan dan pelaburan mampu berdaya tahan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global, perdagangan luar dijangka terus berkembang tahun depan, dengan eksport dan import masing-masing meningkat kepada 4.9% dan 4.5%, kata MIDF Research.
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia meluluskan RM254.7 bilion pelaburan untuk sembilan bulan pertama 2024 (9M24), menandakan peningkatan stabil 10.7% daripada tahun sebelumnya.
Katanya, pelaburan domestik mendominasi dalam tempoh ini, mencakupi 58.1% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, bernilai RM148 billion manaka, pelaburan asing menyumbang RM106.7 bilion, mewakili 41.9% daripada jumlah keseluruhan.
MIDF Research menjangkakan pemulihan dalam perdagangan elektrik dan elektronik (E&E) dan peningkatan permintaan bagi komoditi bukan E&E untuk menyokong pertumbuhan eksport pada bulan-bulan akan datang.
"Import akan terus manaik sejajar dengan permintaan domestik dan aktiviti perniagaan yang semakin meningkat," kata firma itu.
"Walaubagaimanapn, kami kekal berhati-hati mengenau prospek perdagangan luar Malaysia yang mungkin terjejas akibat peningkatan konflik geopolitik, permintaan akhir yang lebih lemah daripada pasaran utama dan kelembapan dalam aktiviti pengeluaran dan perdagangan global.
"Peningkatan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta pengenalan dasar perlindungan juga boleh mengekang aktiviti perdagangan global tahun depan," katanya.
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur Business School, Profesor Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ekonomi Malaysia mempunyai momentum yang baik pada 2024 dan ini perlu dikekalkan untuk 2025.
Beliau berkata dari perspektif domestik, ekonomi berkembang dan stabil, disokong oleh dasar fiskal kerajaan yang menggalakkan pembangunan dan langkah monetari bank pusat, termasuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR).
Aimi berkata, usaha itu memastikan kestabilan pasaran kewangan dan aliran tunai yang mencukupi dalam sistem perbankan.
“Pelaburan yang diluluskan untuk 2024 sebanyak RM254.7 bilion perlu dilaksanakan dengan cepat pada 2025 supaya ia menjadi pendorong kepada ekonomi negara dalam usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi seperti yang disasarkan oleh rancangan Malaysia Madani.
“Ini termasuk membangunkan aspek perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dan merupakan majikan kepada 60 peratus tenaga kerja Malaysia.
“PKS Malaysia perlu dipertingkatkan melalui penggunaan sebanyak mungkin aspek digital dalam perniagaan mereka, menggunakan Intelligent Intelligence (AI) dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0),” katanya kepada Business Times.
Aimi juga menjelaskan, kerajaan perlu meneruskan pelaburan dalam skala yang lebih besar dalam melahirkan pekerja mahir dan separuh mahir melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Katanya, ini penting bukan sahaja untuk menarik pelaburan asing dan menyokong pelbagai bentuk pelaburan tetapi juga untuk meningkatkan tahap pendapatan pekerja Malaysia, membuka jalan untuk negara mencapai status berpendapatan tinggi.
“Ia juga akan mewujudkan lebih ramai saintis dan jurutera yang akan menjadi pemangkin kepada budaya kreativiti khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D),” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, nilai ringgit perlu diperkukuh terutamanya daripada dipengaruhi oleh faktor makroekonomi luaran.
"Ia perlu kukuh, berdaya saing dan stabil dengan mengangkat ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi. Ringgit yang lebih kukuh bermakna keupayaan untuk menyerap kenaikan import makanan yang lebih tinggi, yang pada masa ini Malaysia melebihi RM70 bilion setiap tahun.
"Ini akan membantu mengurangkan kesan kenaikan inflasi, terutamanya pada pertengahan 2025, apabila kerajaan merancang untuk melaksanakan subsidi bersasar untuk harga petrol RON95," kata Aimi. - DagangNews.com