Kontrak baharu bernilai RM32.5 juta diramal menyumbang 3% kepada keuntungan OCK Group pada FY24 dan FY25 | DagangNews Skip to main content

Kontrak baharu bernilai RM32.5 juta diramal menyumbang 3% kepada keuntungan OCK Group pada FY24 dan FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Kenanga Research mengunjurkan kontrak baharu bernilai RM32.5 juta bagi rumusan tenaga simpanan pusat data akan menyumbang 3% kepada keuntungan OCK Group Bhd bagi FY24 dan FY25.

 

Katanya, buat masa ini, kontrak itu akan menyumbang kira-kira 5% kepada hasil kumpulan bagi FY24 dan FY25.

 

"OCK dijangka memulakan kerja bagi projek itu pada 4QFY24 dan menyiapkan projek dalam tempoh sembilan bulan.

 

"Kontrak baharu itu adalah selari dengan jangkaan, kami kekal positif terhadap kejayaan berterusan kumpulan itu dalam meraih kontrak berkaitan pusat data," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kontrak itu melibatkan pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pentauliahan tangki simpanan bawah tanah dan sistem pengagihan bahan api, termasuk kerja kabel, untuk menyokong sistem tenaga sandaran pusat data.

 

Sistem itu penting bagi memastikan bekalan bahan api berterusan kepada penjana simpanan semasa gangguan kuasa yang tidak dijangka, membolehkan pusat data mengekalkan operasi yang lancar semasa gangguan.

 

Selain kontrak rumusan tenaga untuk pusat data, OCK juga sedang membuat tender bagi projek sambungan rangkaian gentian untuk pusat data.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kemenangan kontrak itu termasuk dalam andaian penambahan buku pesanan FY24 mereka sebanyak RM49 juta bagi kontrak rumusan kuasa.

 

Katanya, kumpulan itu telah melengkapkan kontrak rumusan kuasa untuk dua pusat data di Pulau Pinang pada FY23 dan pada masa ini mempunyai dua kontrak untuk pusat data di Iskandar Johor.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana ia berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada pelancaran Rangkaian Digital Nasional (Jendela) Fasa 2 dan 5G di ASEAN dan mempunyai keterlihatan pendapatan kukuh kerana 57% darpada hasilnya adalah aripada pendapatan berulang bagi kontrak pajakan menara telekomunikasi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 86 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com