KPower, Public Islamic Bank meterai MoA sistem PV solar | DagangNews Skip to main content

KPower, Public Islamic Bank meterai MoA sistem PV solar

KPower

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Anak syarikat kepada KPower Berhad (KPower), KPower Engineering Sdn. Bhd. (KPEng) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Public Islamic Bank Berhad (PIBB) bagi tujuan pembiayaan dan pemasangan sistem solar photovoltaic (PV) kepada pelanggan PIBB seiring dengan Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).

 

Melalui MoA tersebut, KPEng akan menjalankan kerja pemasangan dan memberi sokongan kepada PIBB mengenai perkara teknikal yang berkaitan dengan jaminan Kontrak Pemasangan Solar kepada prospek pelanggan.

 

PIBB pula berperanan mempromosikan KPEng sebagai salah satu pembekal dan kontraktor bagi kerja pemasangan solar selain memberikan pembiayaan kepada bakal pelanggan.

 

Perjanjian tersebut berlangsung selama 24 bulan bersama promosi dan pemasaran bersama seperti yang disasarkan dalam inisiatif NEM 3.0.

 

Pengarah Urusan Kumpulan KPower, Mustakim Mat Num berkata, kerjasama pihaknya bersama PIBB dalam menyediakan penyelesaian sehenti kepada pelanggan menjadi penyokong kepada visi hijau dan kelestarian pihaknya untuk penggunaan tenaga bersih.

 

"MoA ini adalah bukti kemampuan kami dalam segmen solar. Konsep NEM diperkenalkan untuk memberi keuntungan kepada pengguna elektrik sekali gus melestarikan alam agar dapat mengatasi masalah perubahan iklim global.

 

"Bagaimanapun, cabaran timbul dalam aspek kekurangan dana atau kemudahan bagi pemasangan sistem ini terutamanya untuk pengguna swasta.

 

"Dengan penyelesaian menyeluruh ini, KPower dan PIBB akan dapat menyediakan kedua-dua permasalahan itu bersama dengan pembiayaan kepada pelanggan kami sekali gus mengatasi masalah utama dalam skim NEM," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Skim NEM yang berada di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) menyediakan ruang kepada pengguna elektrik untuk memasang sistem PV solar di bumbung bangunan masing-masing untuk penjimatan kos elektrik.

 

Skim itu turut mendorong masyarakat memainkan peranan secara aktif dalam mengurangkan impak perubahan iklim dengan penghasilan tenaga bersih.

 

NEM 3.0 diumumkan pada 29 Disember 2020 dengan jumlah kuota 500MW akan diperuntukkan bagi tempoh 2021 hingga 2023.

 

Solar memainkan peranan penting dalam penawaran produk KPower pada masa hadapan bersama NEM selaku penyumbang utama. 

 

Syarikat tersebut juga meletakkan sasaran untuk mencapai hingga 50MW projek NEM atau 10% kuota di bawah NEM 3.0. - DagangNews.com