Langkah intervensi amat diperlukan bagi tangani jenayah terhadap kanak-kanak | DagangNews Skip to main content

Langkah intervensi amat diperlukan bagi tangani jenayah terhadap kanak-kanak

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

GARA-GARA rimas dan tidak tahan dengan tangisan, seorang bapa yang dipercayai di bawah pengaruh dadah menghentak kepala anaknya berusia enam bulan di sofa sehingga maut. Dalam kejadian lain, mayat seorang bayi lelaki ditemukan di dalam tangki pam tandas wanita di sebuah masjid.

 

Ini adalah antara kes jenayah terhadap anak kecil yang tidak bermaya dan tidak berdosa yang berlaku dalam masyarakat kita.

 

Senarainya terus panjang jika kita mahu teliti satu demi satu kes yang berlaku termasuklah kes culik dan bunuh serta penderaan fizikal yang lain.

 

Timbul persoalan apa sedang berlaku dalam masyarakat kita sehingga ada yang tergamak dan sanggup memperlakukan seperti ini terhadap kanak-kanak tanpa sedikitpun ada rasa ihsan dan kasih sayang.

 

Apa yang paling menyedihkan ialah kebanyakan kes jenayah terhadap kanak-kanak terutamanya penderaan membabitkan ahli keluarga terdekat sendiri.


 

NOOR MOHAMAD SHAKIL
  NOOR MOHAMAD SHAKIL

 

 

Jelas sekali masalah kebejatan sosial yang membabitkan institusi kekeluargaan di negara ini semakin membimbangkan dan memerlukan langkah intervensi yang sewajarnya dengan segera demi menyelamatkan nyawa dan masa depan generasi akan datang.

 

Ironinya, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab kita perlu rasa cemas dan bimbang dengan trend aliran peningkatan mendadak kes jenayah dan salah laku terhadap kanak-kanak sejak kebelakangan ini.

 

Boleh dikatakan hampir setiap hari ada saja laporan kes terbaru jenayah terhadap kanak-kanak di negara kita.

 

 

parafrasa

 

 

Walaupun ini bukan isu baru dalam masyarakat kita namun itu bukan alasan untuk semua pihak menutup mata dan telinga sekali gus membiarkan ia berlarutan apatah lagi ketika kes seperti ini sedang menunjukkan trend meningkat.

 

Inikah masyarakat Madani yang kita bangunkan?

Persoalan mudah yang perlu kita tanya pada diri sendiri ialah apakah ini masyarakat Madani yang mahu kita bangunkan? Di mana hilangnya nilai dan kerukunan Madani seperti kesejahteraan, hormat dan ihsan yang membabitkan soal keperibadian dan kemanusiaan mencakupi aspek sikap dan tingkah laku?

 

Secara umumnya kegagalan institusi keluarga untuk berfungsi seperti yang sepatutnya dilihat antara punca utama yang menyumbang kepada peningkatan kes jenayah terhadap kanak-kanak terutamanya membabitkan ahli keluarga sendiri.

 

Mungkin senario ini selari dengan peningkatan kadar perceraian di negara kita, misalnya dilaporkan statistik perceraian meningkat dalam tempoh 2020 sehingga 2023 terutamanya membabitkan pasangan berusia 26 hingga 35 tahun diikuti 36 hingga 45 tahun.

 

Secara lazimnya keluarga yang bermasalah pastinya mendorong kepada pelbagai konflik rumahtangga dan akhirnya anak yang menjadi mangsa keadaan. Jadi masalah dan konflik kekeluargaan ini perlu ditangani dengan segera.

 

Walaupun peningkatan statistik kadar perceraian mungkin tidak memihak kepada harapan kita namun itu bukan alasan untuk kita berdiam diri dan sekadar berpeluk tubuh menyaksikan anak yang tidak berdosa terus menjadi mangsa.

 

Apa yang pasti generasi masa depan perlu dilindungi dan diselamatkan dari terus menjadi mangsa jenayah golongan dewasa yang tidak berhati perut.

 

 

parafrasa

 

 

Dalam hal ini, kita sangat berharap agar ibu bapa terutamanya pasangan muda janganlah terlalu cepat bertindak mengikut emosi dan perasaan, anak itu adalah anugerah dan amanah tuhan yang perlu dibelai, disayangi, dilindungi dan dididik menjadi manusia yang berguna kepada keluarga, agama, bangsa dan negara. Jadi jangan kita culas melaksanakan tanggungjawab ini.

 

Ingat, keluarga dan pasangan suami isteri mana yang tidak ada masalah, maka apa yang penting ialah kematangan kita dalam menangani segala tekanan dan masalah yang timbul. Bincang dan carilah jalan penyelesaian yang terbaik termasuk jika perlu dapatkan bantuan pakar seperti kaunselor.

 

Ironinya anak-anak adalah golongan yang mendahagakan belaian serta kasih sayang dan tidak sepatutnya diperlakukan seperti ini.

 

Senario ini membuktikan masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap kesedaran rakyat selain menerapkan konsep ihsan yang menjadi tonggak pembentukan masyarakat Madani dalam diri setiap anggota masyarakat.

 

Jadi usaha dan inisiatif untuk menerapkan nilai-nilai ihsan ke dalam jiwa dan sanubari setiap anggota masyarakat perlu terus diligatkan supaya pada akhirnya kita dapat melahirkan masyarakat Madani yang tidak mementingkan diri sendiri dan sentiasa prihatin dengan kesusahan orang lain khususnya kebajikan dan keselamatan anak-anak.

 

Hal ini dikatakan demikian kerana kita perlu melahirkan anggota masyarakat yang sentiasa bertindak sebagai pelindung kepada kanak-kanak dan tidak membiarkan mana-mana pihak mengancam keselamatan mereka dalam apa keadaan sekalipun.

 

Misalnya budaya menjaga tepi kain orang berpaksikan konsep ihsan wajar diterapkan dalam diri setiap anggota masyarakat demi melindungi golongan kanak-kanak.

 

Ini penting kerana selama ini ramai yang tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling termasuklah masalah penderaan kanak-kanak kerana budaya dan sikap mementingkan diri sendiri semakin menebal.

 

Jujurnya kita menuntut anggota masyarakat bertindak lebih proaktif dan bersikap ihsan supaya prihatin dengan pelbagai kes jenayah terhadap kanak-kanak yang sedang berlaku di sekeliling kita terutamanya kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

 

 

parafrasa

 

 

Bertindaklah segera sebelum terlambat kerana ini adalah tanggungjawab sosial dan juga moral setiap individu dalam kalangan anggota masyarakat.

 

Sebagai contoh dilaporkan kes jenayah seksual kanak-kanak menunjukkan trend yang membimbangkan dengan sebanyak 110 kes melibatkan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun direkodkan tahun lalu.

 

Jumlah mangsa yang direkodkan antara 2017 hingga 2023 adalah sebanyak 6,990 dengan 1,570 kes pada tahun 2023 sahaja dengan peratus besar mangsa berada dalam lingkungan umur 13 hingga 15 tahun.

 

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, lebih daripada 80 peratus jenayah seksual terhadap kanak-kanak melibatkan individu yang dikenali oleh mangsa. Dalam hal ini salah satu cabaran besar dalam membanteras jenayah tersebut adalah isu kekurangan pelaporan kes terutamanya oleh kanak-kanak.

 

Anggota masyarakat perlu sedar bahawa Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak [Akta 792] jelas memperuntukkan bahawa kegagalan untuk melaporkan jenayah ini merupakan satu jenayah dan peruntukan ini jelas menggambarkan betapa pentingnya bagi rakyat Malaysia menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam menangani isu ini.

 

 

parafrasa

 

 

Justeru sudah tiba masanya untuk kita bertindak dengan lebih agresif yakni jangan sesekali tutup mata dan telinga sebaliknya segera laporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati berlaku sebarang salah laku jenayah terhadap kanak-kanak di sekeliling kita.

 

Ingat, tindakan kita boleh menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa. - DagangNews.com

 

 

NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED adalah PENGANALISIS ISU SEMASA MERANGKAP TIMBALAN PENDAFTAR DI UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM)